Gara-gara dihimpit krisis kewangan yang semakin tenat, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengancam mahu menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dipetik laman Facebooknya membayangkan kesediaannya untuk tidak menyertai sebarang pertandingan anjuran badan induk bola sepak kebangsaan itu setelah tidak lagi mampu menanggung beban mengurus pasukan The Red Warriors.
Nada kecewa supremo bola sepak Kelantan itu kemungkinan besar berkait rapat dengan keputusan FAM yang mengarahkan pihak Kafa menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM636,000 kepada bekas jurulatihnya, Steve Darby, baru-baru ini.
“Sikap ‘kebajikan ahli terakhir’ (FAM) berterusan termasuk cubaan menjual hak melalui penswastaan liga. Jika inilah keadaannya, eloklah Kafa undur diri daripada menjadi ahli gabungan dan mengkaji prospek untuk membuat liga atau persatuan lain tanpa bernaung di bawah FAM dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa Fifa).
“Satu idea yang boleh dianggap radikal tapi tak mustahil (dilakukan). Kalau sekadar untuk bermain bola, banyak persatuan negeri boleh hidup tanpa FAM atau pun Fifa......boleh kita cuba ?,” soalnya.
Pemimpin veteran itu turut membidas pendekatan FAM yang tidak melihat usaha sesebuah persatuan menukar jurulatih atau pegawai semata-mata mahu memperbaiki prestasi pasukan sebagai langkah yang baik biarpun mereka terpaksa mengeluarkan belanja tambahan.
“Namun FAM nampaknya tidak mengambil kira niat bona fide (jujur) persatuan. Walhal draf kontrak oleh FAM itulah yang memaksa ahli gabungan gunakannya tapi ahli sedikit pun tidak dilindungi. Apa hak ahli ?,” soalnya lagi.
Annuar terus menzahirkan kekecewaannya apabila memberitahu, FAM masih kekal dengan budaya meletakkan denda ratusan ribu sebagai perkara mudah sedangkan persatuan negeri terpaksa berhempas-pulas hendak dapatkan dana serendah RM1.
“Berapa FAM beri kepada persatuan ? Persatuan umpama lembu membajak atau lembu susu, bekerja cari duit hanya untuk FAM. Pasukan berhempas-pulas cari duit untuk rebut piala yang boleh dibeli di Morak, Tumpat (Kelantan) dengan harga tak sampai RM10,000 pun.
“Kita melabur puluhan juta untuk liga atau kejohanan tapi kutipan tiket perlawanan akhir Piala FA atau Piala Malaysia pula, makin tahun makin sikit diberikan kepada pasukan yang memunggah penyokong untuk penuhi stadium apabila hanya dapat tak sampai 20 peratus. Akaun kutipan (tiket) yang langsung tidak telus,” katanya.
0 comments:
Post a Comment