Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 3, 2015

TMJ ISYTIHAR TAMAT 'PERANG' DENGAN NAZRI


TMJ


Setelah beberapa ketika, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilihat sering berbalas sindiran, sempena bulan Ramadan ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mengambil pendirian untuk menamatkan ‘sengketa’ yang melanda.

Melalui satu kenyataan yang dimuatnaik di laman rasmi pasukan bola sepak negeri itu, Johor Southern Tigers semalam, TMJ meminta agar semua pihak menghormati bulan Ramadan dan tidak membiarkan isu itu berlarutan.

“Saya menyeru kepada semua pihak media, cukuplah memainkan isu berkenaan saya, Datuk Nazri dan kerajaan. Saya tahu anda terhibur dengan apa yang berlaku. Apa yang ingin saya sampaikan telah pun saya katakan.

“Hormatilah bulan yang suci ini, dan biarkan saya dan keluarga saya menikmatinya dengan aman. Sekiranya terdapat apa-apa yang ingin saya sampaikan, saya akan memaklumkannya kelak.

"Saya akan terus bersuara demi rakyat dan kepentingan negeri saya,” katanya.

Akui sudah bosan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan, TMJ menyifatkan sengketa itu akhirnya tidak akan ke mana malah beliau sempat berseloroh agar diadakan perlawanan tinju untuknya dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu.

“Buat masa ini, biarlah kita tamatkan isu berkenaan saya dan Datuk Nazri kerana ianya tidak ke mana, dan secara jujurnya, saya pun sudah bosan dengan hal ini.

“Kalau anda mahu ianya lebih menarik, boleh diadakan satu perlawanan tinju antara saya dan Datuk Nazri, dan hasil kutipannya boleh disalurkan untuk tujuan amal...saya hanya bergurau,” katanya.

Dalam kenyataan sama, TMJ sempat memberi ucapan sempena bulan Ramadan yang disambut seluruh umat Islam di negara ini.

“Walau bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di Johor dan Malaysia, dan semoga ALLAH merahmati anda sekalian.

“Kepada yang bukan Muslim, semoga Tuhan memberkati anda dan orang yang tersayang. Akhir kata, salam kasih kepada seluruh Bangsa Johor. Johor mesti sentiasa jadi Johor,” ucapnya.

Sementara itu, Nazri dilaporkan menyambut baik kenyataan TMJ itu dan meminta agar keputusan tersebut dihormati semua pihak.

Sebelum ini, Tunku Ismail telah memuat naik komen pada status di laman Facebook Johor Southern Tigers berhubung dialog 'Nothing2Hide' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas faktor keselamatan.

Kenyataan itu mendapat maklum balas keras dari Nazri yang berlarutan sehingga semalam.

0 comments:

share2