Sebagai makanan ruji di negara ini, dianggarkan sebanyak 90 hingga 100 kilogram beras diambil dalam masa setahun.
Menurut kajian saintifik terkini, nasi mengandungi jumlah RDS (Kanji Cepat Cerna) yang tinggi apabila ia dimakan, tahap glukosa dalam darah akan meningkat dengan pantas dan ramai terdedah kepada penyakit gula.
Pengarah Urusan Grayns Sdn Bhd, Zeeshan Khan berkata, periuk nasi Grayns keluaran syarikatnya merupakan solusi kepada masyarakat untuk mengurangkan kandungan gula dalam badan.
“Periuk nasi ini mengasing dan menyingkirkan RDS tidak sihat daripada nasi melalui proses memasak secara semula jadi dengan hanya menekan satu butang.
“Pengguna Grayns dapat merasai pengalaman memasak nasi yang lebih sihat dengan cara mudah dan ringkas,” katanya.
Zeeshan berkata, teknik masakan digunakan adalah cara yang sama dengan penggunaan kayu arang oleh nenek moyang kita.
Katanya, masyarakat dahulu sememangnya dikenali dengan tubuh badan sihat berbanding generasi sekarang.
“Pengguna Grayns tidak perlu risau kenaikan tahap gula dalam darah berbanding menggunakan periuk nasi konvensional,” katanya.
Beliau berkata, teknologi periuk Grayns dihasilkan syarikat tempatan, Grayns Malaysia Sdn Bhd (Grayns) dengan pembangunan bersama Grayns Labs, California, Amerika Syarikat.
Penjimatan kos kesihatan
Menurut Zeeshan, produk keluaran syarikatnya itu direka dan dikilangkan di Malaysia adalah satu-satunya teknologi periuk nasi di dunia yang boleh mengasingkan gula.
Katanya, hampir lima tahun penglibatannya dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menyempurnakan teknologi unik itu.
“Sasaran kami bagi tahun pertama operasi adalah mencapai jualan sebanyak 10,000 unit di Malaysia.
“Pada mulanya, rancangan kami adalah menumpukan sepenuhnya kepada pasaran tempatan, namun sambutan diterima amat menggalakkan sehingga menerima tempahan dari luar negara,” katanya.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, pihaknya telah meningkatkan kapasiti pengeluaran tahun pertama dengan menghasilkan 15,000 unit.
Katanya, harga produk bernilai RM2,888 seunit untuk pengguna runcit selaras dengan penggunaan teknologi terkini dalam pembuatan periuk nasi tersebut.
“Harganya mungkin agak mahal namun sebenarnya pengguna boleh berjimat dengan periuk nasi ini dari segi kos kesihatan yang jauh lebih tinggi daripada periuk Grayns.
“Bagi membantu pengguna, kami memperkenalkan banyak pilihan pembayaran mudah untuk menjadikan periuk nasi Grayns lebih berpatutan,” katanya.
Demi memastikan kesihatan rakyat lebih terjamin, Zeeshan berharap periuk nasi Grayns menjadi sebahagian daripada setiap isi rumah di negara ini.
“Ia merupakan satu impian yang sangat besar, tetapi secara teorinya boleh dicapai,” katanya.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk mendidik orang ramai mengenai kesan buruk daripada pengambilan gula secara berlebihan.
"Kami menjadikan ia tanggungjawab sosial untuk mewujudkan kesedaran supaya manusia boleh mendapat manfaat dengan kehidupan yang lebih sihat, berkualiti, produktiviti. Ia juga dapat mengurangkan kos kesihatan pelanggan dalam situasi ekonomi tidak menentu sekarang.
"Bercakap secara realistik, setiap isi rumah mungkin tidak mempunyai satu produk kami, tetapi mesej kesihatan yang kami ingin sampaikan pasti akan sampai di setiap rumah," katanya.
Terokai pasaran luar negara
Jelas Zeeshan, 60 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami sebarang bentuk penyakit gula termasuk kencing manis, obesiti dan penyakit jantung.
Katanya, gula tidak semestinya daripada sumber tebu sebaliknya ia daripada pelbagai sumber berbeza.
“Sebagai contoh, semangkuk beras mengandungi 10 sudu teh gula dari segi nilai kalori.
“Gula memasuki badan kita melalui sumber-sumber lain seperti makanan diproses antaranya minuman ringan, bijirin, mi segera, jus buah-buahan manis, yogurt berperisa, teh tarik dan banyak makanan rendah lemak tiruan diproses,” katanya.
Di atas faktor tersebut, beliau berkata, pasaran untuk produknya itu sangat meluas.
Dalam tempoh terdekat, syarikat itu bakal meluaskan jaringan perniagaan dengan meningkatkan rakan saluran di Malaysia dan rantau Asean.
Zeeshan berkata, tahun depan mereka merancang untuk bergerak ke pasaran yang lebih besar seperti China, India, Amerika Syarikat, Jepun, Eropah dan Timur Tengah.
"Negara-negara ini mempunyai pasaran yang cukup besar kerana jumlah rakyat mereka lebih ramai berbanding negara ini.
“Kaedah untuk memasarkan produk ini adalah dengan melantik pengedar utama di setiap pasaran yang bakal kami terokai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment