Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 21, 2015

(KUANTAN) 'LEBIH SELESA DARI RUMAH SENDIRI'


'Lebih selesa dari rumah sendiri'


“Ketika mula-mula dihantar ke rumah orang-orang tua, saya sebenarnya rasa malu dan setiap hari rasa hendak pulang ke rumah tetapi sekarang jika hendak hantar saya pulang ke rumah saya sendiri tidak mahu...”

Demikian luahan, warga emas, Muhamad Sharif Buyong, 61, yang sudah menetap di Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua, Seri Permai, Taman Tas, di sini hampir dua tahun.

Menurutnya, lebih selesa tinggal di rumah kebajikan daripada rumah sendiri yang entahkan ada entahkan tidak lagi selepas tidak pulang lagi ke rumahnya yang terletak di Kampung Tiram.

“Memandangkan saya tidak berkahwin dan sudah bertahun-tahun tinggal sebatang kara lebih elok sekiranya saya terus menetap di rumah kebajikan memandangkan saya semakin tua dan sakit pening lebih terjaga.

“Sekarang saya mula rasa bersyukur dan bertuah berada di sini, kehadiran saya ke sini juga disebabkan tidak ada saudara mara yang datang menjenguk dan mengambil setelah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mengidap penyakit tibi.

“Jadi ada seorang kawan yang berbesar hatinya menghantarkan saya ke sini dan mereka menerima saya dengan baik lebih daripada keluarga sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu katanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang mekanik, sedih juga apabila mengenangkan nasib diri namun setelah tinggal bersama penghuni lain, berasa lebih bertuah memandangkan ada yang lebih teruk keadaan dan sebab mereka di hantar ke rumah kebajikan.

“Kali ini sudah masuk dua kali berhari raya Aidilfitri bersama penghuni lain dan saya berasa lebih gembira kerana masih diberi peluang, namun ada juga masa-masa saya berasa sedih bila tengok penghuni lain ada didatangi pelawat sama ada kaum keluarga atau sahabat handai.

“Tapi saya hanya boleh menumpang rasa gembira itu dan rasanya ingin terus kekal berada di rumah kebajikan ini sampai akhir hayat saya dan cukup-cukup terhutang budi dengan mereka yang menjaga saya,

“Memandangkan saya merupakan orang yang terawal tinggal di sini jadi saya begitu faham cara mereka menjaga kita dan terasa seperti budak yang masih kecil, namun dalam berada di sini, saya juga meringankan tangan membantu mana yang termampu,” katanya.

0 comments:

share2