Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 24, 2015

MISTERI BATU NISAN 'HIDUP'

Lebih 50 megalitik membesar seperti pokok


KUALA Pilah dipenuhi batu besar atau nama saintifiknya megalitik yang kedudukannya seperti berdiri atas tanah dan berpasangan.

Perkataan ‘megalitik’ diperoleh daripada perkataan Greek ‘mega’ yang membawa maksud besar dan ‘lithos’ iaitu batu.

Megalitik biasanya jelas kelihatan dari arah jalan raya di perkampungan Terachi, dan batu berusia ratusan tahun itu berdiri tegak di tanah perkuburan lama.

Bagi merungkai keunikan dan misteri batuan tersebut, seorang penjaga kubur lama, Khalibah Ujang, 63, sudi berkongsi cerita.


Nisan lama semakin tinggi 

Menurutnya, tapak kubur lama yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Ibol, Terachi, dianggap unik kerana sebahagian batu batu yang dijadikan nesan di sana semakin tinggi.

Jelasnya, zaman dahulu tiada kedai yang membuat batu nisan, dan jika ada kematian, penduduk akan mengambil batu dari anak sungai (sungai kecil) berhampiran kampung tersebut untuk dijadikan tanda atau batu nisan.

“Namun, yang pelik dan uniknya batu tersebut semakin lama semakin tinggi. Ia misteri kerana ada di antara batu yang berusia ratusan tahun ini seolah-olah mempunyai akar dan membesar seperti pokok.

“Saya masih ingat lagi ketika berusia empat tahun, batu ini tingginya hanya paras lutut orang dewasa tetapi sekarang tingginya sama paras bahu saya dan ada di antaranya lebih tinggi daripada saya serta ketinggian manusia normal,” katanya.


Lokasi kunjungan, kajian

Khalibah berkata, sebagai penjaga tanah perkuburan, dia telah diberi amanah untuk menjaga kebersihan kawasan itu.

Menurutnya, tempat itu sering dikunjungi orang ramai sama ada individu mahu pun kumpulan termasuk dari institusi pengajian tinggi untuk mengkaji keunikan batu berkenaan.

“Kawasan ini telah wujud ratusan tahun lalu, dan ia tidak terlepas daripada mengalami perubahan mengikut peredaran zaman.

“Sebagai contoh, terdapat batu nisan yang telah terkeluar dari kawasan pagar dan menghampiri tepi longkang kerana hakisan tanah.

Batu nisan condong itu termasuk kepunyaan ‘Tok Bongkok’,” katanya.


Lebih 50 batu megalitik wujud 

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Karim Sidek, 74, berkata, lebih 50 batu megalitik ada di daerah ini sama ada di tepi jalan utama Seremban-Kuala Pilah mahu pun di pedalaman sekitar Mukim Terachi.

Antaranya di Kampung Talang, Kampung Parit Tengah, Kampung Kundang Kiri, Kampung Masjid, Kampung Padang Lebar, Kampung Gedang dan terdapat beberapa kampung lagi yang ada tapak megalitik.

Jelasnya, selain di Terachi, dia difahamkan batu hidup ini juga terdapat di Tampin dan Rembau.

Selain itu, dia juga pernah dimaklumkan orang tua-tua bahawa darjat seseorang dapat dilihat melalui cara dan kedudukan batu nisan ditanam di kuburnya.

“Sebagai contoh, batu nisan yang terdapat di hadapan rumah ibu saya di Kampung Padang Lebar, Terachi ini, dipercayai milik oleh orang kenamaan atau keturunan raja.

“Ia berdasarkan keadaan batu yang ditanam dalam keadaan berpagar,” katanya yang tidak mengenali keturunan diraja itu.


Tanggungjawab muzium

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Dr Shamsuddin Ahmad menjelaskan, penemuan batu megalitik di daerah ini tanda pengembangan penempatan masyarakat terawal yang ketika itu menjadikan megalitik tempat pemujaan yang mampu mempengaruhi ekonomi masyarakat waktu itu.

Menurutnya, pada zaman itu, masyarakat hanya bergantung kepada pertanian.

Justeru, penyembahan dan pemujaan megalitik dipercayai mampu meningkatkan kesuburan tanaman.

“Kewujudan megalitik di daerah ini masih misteri dan semua batu yang telah ditemui akan dijaga serta dipulihara kerana ia peninggalan khazanah negara.

“Ia salah satu tanggungjawab LMNS untuk melihat dan memantau perkembangan termasuk mencari lokasi baharu tapak megalitik yang masih belum dikenal pasti,” katanya.

“Khazanah ini perlu dijaga kerana penemuan batu megalitik dilihat banyak ditemui di sini selain boleh dijadikan tarikan pelancongan,” katanya.




0 comments:

share2