Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 12, 2015

MANFAAT ILMU UNTUK JADI PEMIMPIN BERINTEGRITI


Sultan Nazrin Shah


Gerik - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam perlu memanfaatkan ilmu, akal dan kebijaksanaan mereka untuk menjadi pemimpin ummah yang berintegriti, jujur, ikhlas dan luhur. 

Baginda bertitah umat Islam juga perlu mengabadikan sepenuh jiwa raga kepada ALLAH dan mengelak daripada tergelincir hingga bertuankan kebendaan atau bertuhankan insan lain. 

"Manfaatkan akal anugerah Ilahi untuk menjadi insan yang bijaksana," titah baginda ketika berucap pada Majlis Perasmian Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan al-Quran di Pondok Air Jernih, Kampung Ulu Kenderong di sini semalam.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap orang yang berusaha dan bergerak aktif menjayakan penubuhan maahad berkenaan.

"Banyak pihak telah mengabadikan masa, tenaga, fikiran dan harta benda untuk penubuhan maahad ini. Setiap mereka telah berjaya menyahut seruan Ilahi untuk melakukan amal, memenuhi tanggungjawab besar fardu kifayah untuk mendidik dan mengilmukan ummah," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah turut bertitah pelajar maahad berkenaan bakal menjadi barisan para huffaz yang berperanan sebagai angkatan bagi membantu memelihara keaslian dan melindungi kesahihan al-Quran.

"Setelah berjaya menghafal tiga puluh juzuk al-Quran, anak-anak pelajar hendaklah lebih gigih lagi menerokai mukjizat yang terkandung di dalam al-Quran.

Terdapat ratusan ayat al-Quran yang menyeru orang-orang beriman agar memanfaatkan akal dan kebijaksanaan," titah baginda.

Terdahulu, baginda bertitah menghafal merupakan kaedah asal dan semula jadi untuk mempelajari serta memelihara ayat-ayat al-Quran sebelum dihimpun dan dibukukan dalam bentuk kitab yang dikenali pada hari ini.

"Al-Quran pada akhirnya disempurnakan terhimpun lengkap dalam bentuk tulisan atas usaha Saidina Uthman ibni Affan RA pada tahun 650 ke 656M, namun ia tidak sama sekali menghentikan kaedah hafalan yang kekal hidup dan terus dikembangkan.

Pada hari ini, al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang dihafal oleh begitu ramai manusia," titah baginda.

Sultan Nazrin juga bertitah hasrat untuk memahami inti pati al-Quran boleh dicapai melalui dua cara iaitu menguasai Bahasa Arab dan usaha menterjemahkan al-Quran daripada Bahasa Arab ke dalam bahasa lain.

Baginda bertitah kejayaan usaha menterjemah membolehkan lebih ramai umat manusia di luar dunia Arab dapat mengenali, memahami dan menghayati inti pati al-Quran.

"Insan yang memahami kandungan al-Quran akan dapat menghayati kehebatan Islam sebagai agama yang syumul, agama yang menyeluruh lagi sempurna, agama yang menganjurkan keadilan, kesaksamaan, perdamaian dan kesederhanaan.

Agama yang tidak mengenakan paksaan terhadap sesiapa, malah agama yang menganjurkan umatnya untuk menerima dan menghormati perbezaan dan umatnya ditegah sama sekali daripada menghina dan mempersendakan agama lain," titah baginda.

Titah baginda, pada sekitar tahun 1400, teknologi percetakan berkembang lebih pesat apabila kertas lebih mudah diperoleh yang menyaksikan risalah-risalah agama Buddha serta Kristian tersebar luas dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi berkenaan.-

"Malang bagi perkembangan Islam, al-Quran dan risalah agama Islam mengambil masa yang lebih lama sebelum dibenarkan untuk mengguna pakai teknologi percetakan moden kerana berlakunya halangan melalui fatwa yang dikeluarkan dari kalangan sebahagian ulama yang mengharamkan ayat-ayat al-Quran dari disentuh oleh mesin cetak.

Ulama yang gagal memahami relevansi teknologi moden lalu memberi tafsiran negatif terhadap teknologi yang telah menghalang risalah Islam daripada dapat disebarkan secara lebih pesat dan lebih meluas," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah hari ini al-Quran telah berupaya dicetak dengan bilangan yang lebih besar dan turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

"Hari ini dilaporkan al-Quran telah diterjemahkan ke dalam kira-kira 130 bahasa. "Perkembangan ini amat menggalakkan, namun ia juga turut memberikan cabaran baharu dari segi kawalan dan pemantauan untuk memastikan kesahihan kandungan al-Quran tetap terjamin," titah baginda.

0 comments:

share2