Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 4, 2015

KUANTAN: SUAMI ISTERI SOROK MERCUN DITAHAN


Suami isteri sorok mercun ditahan


Tindakan pasangan dipercayai suami isteri menyorok pelbagai jenis mercun di tempat duduk belakang kereta yang dinaiki dapat dihidu pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya di Kilometer 19 Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, berhampiran Gebeng, semalam.

Dalam sekatan kira-kira jam 2 pagi itu, polis menahan kereta pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan dua suspek lelaki dan wanita yang berusia 32 dan 42 tahun berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, curiga dengan kehadiran mereka, polis menahan mereka di tepi jalan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, beberapa jenis mercun yang tidak dibenarkan ditemui dalam pemeriksaan berkenaan dan jumlah harga keseluruhan bahan itu masih dalam siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah mercun itu dipercayai akan dijual di sekitar daerah ini sempena hari raya nanti,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pasangan berkenaan masing-masing berasal dari Kampung Bharu, Kuala Besut, Terengganu dan berkemungkinan bekalan itu baru sahaja diambil dari pembekal di Terengganu.

Menurutnya, pasangan yang beralamat di Perkampungan Cenderawasih, di sini, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan siasatan lanjut dan polis turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek.

“Kita akan memastikan pembekal mercun tidak aktif membekalkan bahan terlarang itu terutama bagi musim perayaan bagi mengelakkan sebarang kemalangan berkaitan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memantau anak-anak dan mengelakkan pembelian bunga api atau mercun yang diharamkan bagi elak tragedi pada musim perayaan.

0 comments:

share2