Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 10, 2015

(KUANTAN) PIHAK BERKUASA PERLU TEGAS ATASI MASALAH BAUKSIT - TENGKU MAHKOTA


Isu bauksit: Amaran kerajaan negeri berkesan


Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan kebimbangan dengan kegiatan perlombongan bauksit secara haram di daerah ini dan menitahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk mengatasinya.

Tengku Abdullah bertitah, berdasarkan pemerhatian baginda sendiri, penguatkuasaan yang longgar menyebabkan pihak pelombong haram ini semakin berani dan rakus menjalankan kegiatan tersebut.

"Ini menjadi satu kebimbangan, saya harap pihak kerajaan negeri sendiri harus bertegas dalam hal ini kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang terjadi di Cameron Highlands.

"Perbuatan meneroka tanah serta perlombongan secara haram seperti ini secara berleluasa tanpa mengira masa dan tempat akan mendatangkan masalah besar jika pihak berkuasa tidak membuat tindakan sewajarnya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian zakat berjumlah RM2.56 juta daripada enam badan korporat di Istana Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Dilaporkan perlombongan bauksit secara haram semakin berleluasa di kawasan Bukit Goh, Bukit Sagu dan Bukit Kuantan yang menyebabkan pencemaran alam sekitar termasuk mengotorkan jalan raya, udara dan air.

Mengulas lanjut tentang masalah itu, Tengku Abdullah juga mahukan pihak berkuasa supaya lebih proaktif dalam menjalankan tugas untuk menangani tindakan licik pelombong haram ini yang dikatakan semakin bijak menukar strategi untuk mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Saya dimaklumkan kontraktor-kontraktor yang terlibat (dalam perlombongan buaksit) semakin berani dan pandai (elak perbuatan dikenakan tindakan pihak berkuasa).

"Jadi saya harap pihak penguatkuasa dapat mengambil tindakan yang lebih proaktif dan lebih mantap, kalau tidak habis bukit-bukit ini semua," titah baginda.

Baginda bertitah setiap aktiviti perlombongan bauksit perlu mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

"Ia termasuk soal kenderaan itu sendiri dan setiap lori yang keluar dari kawasan perlombongan bauksit perlulah dipastikan bersih sebelum memasuki jalan raya dan ditutup untuk mengelakkan debu-debu bauksit itu berterbangan sehingga mengotorkan jalan raya dan mencemar alam sekitar.

"Apa yang saya perhatikan lori hantu pun ada dan ini tidak mencerminkan penguatkuasaan yang tepat. Dalam hal ini mereka perlu ikut prosedur standard yang ditetapkan dan bertimbang rasalah sedikit," titah baginda.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.56 juta daripada enam badan korporat iaitu Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menyasarkan kutipan zakat pada tahun ini akan meningkat kepada RM110 juta dengan melibatkan 81,000 pembayar berbanding RM102.6 juta dengan 74,000 pembayar pada tahun lepas.

0 comments:

share2