Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 9, 2015

(KUANTAN) NAIK TARAF MENJELANG 2017

Pahang



Kerajaan negeri akan meningkatkan bilangan kemudahan dan menaik taraf prasarana sedia ada di kawasan tumpuan pelancongan sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Pahang pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, selain itu, pihaknya juga akan mengaktifkan semula majlis pelancongan di setiap daerah bagi mengenalpasti kemudahan yang diperlukan dan tarikan pelancongan baharu.

"Sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Pahang kita akan naik taraf tarikan pelancongan sedia ada seperti eko-pelancongan, binaan-binaan seperti muzium serta mencantikkan jalan raya dan mengadakan lebih banyak acara seperti larian bagi menarik pelancong datang. 

"Kita juga akan mulakan kempen mempromosikan Tahun Melawat Pahang di dalam dan luar negara mulai tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Tourism Pahang di sini semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser, Datuk Ishak Mokhtar.

Mohd Sharkar berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi tujuan berkenaan, yang akan mengenalpasti lokasi-lokasi baharu pelancongan, kos bagi menaik taraf prasarana dan juga kos luar jangka sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir. 

"Kita juga akan meminta pemain industri seperti operator pelancongan dan pemilik-pemilik homestay di seluruh negeri ini supaya mereka bersedia dengan kempen tersebut.

"Kita juga menggalakan mereka menaik taraf dan mengindahkan premis masing-masing serta menggandakan usaha dalam mempromosikan tarikan pelancongan bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini menjelang Tahun Melawat Pahang 2017 nanti," katanya.



0 comments:

share2