Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 20, 2015

KONSPIRASI JATUHKAN KERAJAAN BN PERBUATAN KHIANAT


BN


Shah Alam - Umno Selangor semalam meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan wujudnya konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendedahan yang dibuat oleh Xavier Andre Justo, bekas pengarah PetroSaudi International Ltd, kepada pihak polis Thailand menunjukkan adanya jenayah amat serius dan berbahaya.

"Kalau betul apa yang didakwa Justo, ia boleh dianggap mereka yang terlibat sebagai penderhaka," katanya kepada Bernama malam tadi.

Noh turut mencabar pemimpin pembangkang yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Justo supaya tampil membuat penafian jika dakwaan lelaki itu tidak benar.

Justeru itu, katanya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa juga yang terlibat dalam perkara itu.

Beliau mengulas pendedahan Polis Thailand pada Khamis bahawa pemimpin pembangkang bertemu dengan Justo di Singapura untuk membeli maklumat sulit.

Justo, 49, ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) Polis Thailand di Koh Samui pada 22 Jun lepas setelah PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiataan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.

Di KUANTAN, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, tindakan pihak tertentu bersekongkol dengan pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan BN adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan tindakan tegas.

"Ini satu perbuatan berniat jahat untuk menggulingkan kerajaan dengan cara sebegini dan kita perlu sedar proses untuk Malaysia menjadi negara membangun seperti hari ini bukan mudah.

"Selama ini, banyak faedah pembangunan negara yang dikecapi rakyat dan jika keharmonian negara terjejas, yang menerima kesan adalah rakyat," kata Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia kepada Bernama,malam tadi.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan secepat mungkin bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

Selain itu, katanya hubungan diplomatik Malaysia dan negara-negara anggota Asean diharap dapat membantu menyegerakan proses siasatan itu supaya dalang sebenar dapat dikenal pasti.

Pengerusi MIC Pahang, K.Tamil Selvam pula berkata, tindakan menjatuhkan kerajaan secara 'halus' itu boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.

Beliau juga berharap polis dapat melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan konspirasi itu.

0 comments:

share2