Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 28, 2015

KEPUTUSAN PERSEMPADANAN SEMULA DIKETAHUI 7 OGOS


mahkamah


Putrajaya - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh untuk mengumumkan keputusannya mengenai rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan notisnya mengenai syor cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Sarawak. 

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad, ketika dihubungi Bernama, berkata pejabat beliau dimaklumkan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan tentang tarikh itu hari ini.

Katanya keputusan mengenai rayuan SPR itu dijadual diumumkan pada 9 pagi hari berkenaan. 

Rayuan itu didengar pada 9 Julai oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada hakim-hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan
Datuk Abdul Rahman Sebli sebelum menangguhkan keputusan mereka. 

Pada 15 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching mengisytiharkan bahawa notis SPR mengenai cadangannya untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya, tidak mengandungi butiran terperinci dan oleh itu memerintahkan SPR menyiarkan semula notisnya. 

Pada 25 Mei tahun ini, hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie memberi perintah tambahan yang mengisytiharkan bahawa notis SPR berhubung syor cadangan
persempadanan semula kawasan pilihan raya itu adalah tidak sah dan terbatal setelah memutuskan bahawa notis mengenainya bercanggah dengan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau memerintahkan SPR menyiar semula syornya berhubung cadangan urusan persempadanan semula itu "dengan mematuhi sepenuhnya peruntukan yang termaktub dalam Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan". 

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Adun Batu Lintang, See Chee How dan seorang pengundi di Ulu Baram, Pauls Baya. 

See dan Pauls memohon perisytiharan bahawa urusan persempadanan semula itu adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikut Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan. 

Mereka mendakwa cadangan SPR dan deraf pelan kawasan pilihan raya amat kekurangan butiran terperinci dan notis secukupnya tidak diberi kepada penduduk di kawasan terbabit. 

Mereka juga memohon mendapatkan perintah mandatori yang mengarahkan SPR melengkapkan sepenuhnya notis mengenai cadangannya supaya ia mematuhi semua peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

0 comments:

share2