Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 28, 2015

KEMBARA JALAN KAKI BERSIH MASJID MASUK HARI KE-186


Kembara jalan kaki bersih masjid masuk hari ke-186


Georgetown - Kembara berjalan kaki melibatkan dua beradik bersama seorang rakan untuk mengunjungi dan membersihkan 132 masjid di seluruh semenanjung Malaysia memasuki hari ke-186 hari ini.

Anas Aiman Jaffry, 27, adiknya Muhammad Aidil, 24, dan rakan mereka Hizamuddin Aliddin, 25, telah mengunjungi lebih 100 masjid untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Anak muda yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu bertekad meredah hujan dan panas serta sanggup menanggung pelbagai risiko untuk mengunjungi dan membersihkan masjid secara sukarela.

Anas yang menggalas tugas sebagai jurucakap kumpulan itu, berkata Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh merupakan masjid yang ke-106 selepas mengunjungi enam masjid di Pulau Pinang.

"Kami tiba di perkarangan masjid pada pukul 10 pagi. Kami akan cuba untuk melawat sebanyak mungkin masjid memandangkan pembinaan masjid di negeri ini agak rapat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang ke-10 dikunjungi dan selepas itu mereka akan meneruskan perjalanan ke Perak sebelum pulang ke Selangor untuk melengkapkan perjalanan mereka.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi, Anas berkata banyak cabaran yang mereka lalui sepanjang kembara itu terutama pada bulan puasa.

"Kami menetapkan jarak perjalanan kami. Sebelum berpuasa kami berjalan sejauh 40 kilometer dan semasa bulan puasa kami berjalan 20 kilometer.

"Kami tidak berniat untuk mencipta rekod. Kami cuba menunjukkan kepada anak muda untuk sentiasa mengimarah dan menjaga kebersihan kawasan masjid. Anak muda juga harus mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat," katanya.

Sementara itu, Anas berkata tahun hadapan mereka bercadang untuk mengunjungi masjid di Sabah dan Sarawak.

0 comments:

share2