Shah Alam - Saringan sendiri sebarang maklumat oleh pengguna media sosial perlu dilakukan bagi mengekang penyebaran khabar angin atau berita palsu.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengguna media sosial perlu menilai terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi maklumat kepada orang lain.
“Nilai terlebih dahulu. Jika sangsi dengan laporan itu maklumkan kepada pihak berkuasa supaya ia boleh diambil tindakan.
“Jangan kita terus sebarkan berita yang kita sendiri tidak tahu kesahihannya. Dengan kata lain, pengguna media sosial itu sendiri adalah punca tercetusnya khabar angin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, khabar angin di media sosial seperti Facebook dan Twitter lebih dipercayai kerana isu berkaitan emosi cepat lekat di hati pengguna.
“Khabar angin paling mudah digunakan untuk mempengaruhi pengguna dan masyarakat secara umum untuk mempercayai sesuatu perkara,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap tahap kepercayaan masyarakat di negara ini terhadap berita yang disampaikan di media sosial.
“Sebagai contoh isu yang berlaku di Plaza Low Yat, pelbagai versi cerita mengenai kes yang berlaku sehingga menimbulkan kekeliruan pengguna.
“Hal ini berpunca daripada keghairahan pengguna untuk berkongsi maklumat sehingga mengabaikan kesahihan dan ia menjadi satu fitnah,” jelasnya.
Jelas Sivamurugan, kerajaan perlu bertindak tegas bagi mengekang penyebaran fitnah di media sosial kerana ia merupakan barah dalam masyarakat hari ini.
“Tindakan tegas mampu menjadi pengajaran kepada semua.
“Undang-undang sedia ada memadai dan ia boleh dimantapkan lagi dengan pendakwaan segera.
“Dengan ketegasan juga kita boleh mengetahui identiti di sebalik pengguna akaun palsu media sosial. Mereka perlu dihukum kerana cuba merobohkan perpaduan antara kaum,” katanya.
0 comments:
Post a Comment