Cheras – Alasan tidak tahu zon kawasan kutipan sampah di bawah selenggaraannya menjadi punca sisa buangan dari ratusan rumah penduduk di Taman Seri Taming, di sini tidak dikutip kontraktor dilantik.
Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram Dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, penduduk membuat aduan sampah kawasan itu tidak dikutip lebih lima hari dan aduan dibuat kepada Adun serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Masalah kutipan sampah isu serius, saya turun ke tapak baru-baru ini untuk fahami isu sebenar,” katanya.
Beliau berkata, difahamkan, kawasan itu diambil alih oleh kontraktor baru, sebuah syarikat di bawah kerajaan negeri Selangor selepas kontraktor lama ditamatkan perkhidmatan.
Menurutnya, arahan sudah diberi kepada kontraktor supaya menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
“Kontraktor beri alasan tidak kutip sampah kerana pemandu kompaktor tidak faham dengan kawasan mereka. Saya arahkan masalah ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, sebagai sebuah syarikat GLC, pihak kontraktor sepatutnya menjaga imej menunjukkan bahawa perkhidmatan mereka terbaik di negeri ini.
Kerajaan negeri memandang serius isu sampah, sasaran adalah membina kerajaan dengan persekitaran bersih untuk rakyat negeri ini.
Semua pihak katanya tidak perlu membuat perbandingan antara isu kutipan sampah dengan sampah haram tepi jalan, isu sampah haram lebih kompleks dan terdapat banyak unsur.
“Kami tidak akan bertoleransi isu kutipan sampah, kerajaan negeri dah beri arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai perkara ini.
“Jika ada kontraktor yang menerima notis kegagalan (NTC) lebih 10 kali dalam tempoh tiga tahun perkhidmatan mereka akan ditamatkan dan diganti kontraktor anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment