Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 3, 2015

AKHIRNYA PEMUDA PAS GESA KEMBALIKAN SUBSIDI MINYAK

minyak



SHAH ALAM - Kenaikan harga RON95 dan RON97 yang berkuatkuasa semalam adalah hadiah hari raya kerajaan BN untuk rakyat Malaysia, dakwa Pemuda Pas.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, harga minyak dunia mengalami sedikit penurunan sepanjang Jun namun harga minyak di negara ini pula naik untuk bulan Julai.

“Ia menjadi bukti bahawa kerajaan di bawah pimpinan Umno-BN akan terus membudayakan tekanan ke atas rakyat dengan pelbagaikan cukai dan kenaikan harga barangan bagi memastikan survival pemimpin-pemimpin mereka terjamin.

“Kenaikan terbaru ini sama sekali tidak wajar dalam keadaan harga minyak dunia tidak memperlihatkan kenaikan ketara berbanding pada bulan April dan Mei lalu. Bahkan, harga minyak dunia mengalami sedikit penurunan sepanjang Jun berbanding harganya pada Mei lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan kerajaan susulan kenaikan harga minyak itu meskipun harga minyak mentah dunia mengalami penurunan harga.

“Kerajaan wajib berterus-terang menjelaskan bahawa hakikat kenaikan ini bukan didorong harga minyak dunia, tetapi sebenarnya dari akibat kemerosotan nilai ringgit berbanding dengan dolar. Pemimpin Umno ternyata berbohong dan memperbodohkan rakyat apabila menyatakan kejatuhan nilai ringgit baik untuk negara.

“Ini termasuklah kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri pada 14 Disember 2014, bahawa kejatuhan nilai ringgit dijangka menarik lebih ramai pelabur ke negara ini. Kerana katanya, nilai ringgit yang rendah berpotensi meningkatkan keuntungan mereka sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pemuda Pas mendesak agar subsidi minyak segera dikembalikan selepas ditarik sebelum ini.

“Oleh itu, Pemuda Pas mendesak kerajaan untuk segera mengembalikan subsisi minyak yang ditarik balik kononnya kerana harga minyak berada di paras rendah.

“Dalam sebarang keadaan, subsidi minyak dibekalkan kepada rakyat semenjak berpuluh tahun dulu tidak boleh ditarik balik sebagai satu lambang perkongsian keuntungan ke atas perniagaan minyak yang diambil daripada hasil bumi negara ini,” katanya.

Berkuatkuasa 1 Disember tahun lepas, kerajaan melaksanakan kaedah pengapungan terkawal bagi penetapan harga runcit petrol RON95 dan diesel, seperti yang dilaksanakan bagi harga runcit RON97 sejak Julai 2010, menjadikan harga bahan bakar berubah mengikut harga pasaran minyak dunia.

Bagi Julai, harga runcit RON95 naik 10 sen menjadi RM2.15 seliter daripada RM2.05 pada Jun, RON97 naik 20 sen kepada RM2.55 manakala bagi diesel dan diesel Euro5 masing-masing kekal RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.






0 comments:

share2