Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 28, 2015

WAK MUSTAR MULA RIMAS


Wak Mustar


Juara Kilauan Emas 5, Mustaffa Rashid Abdul Jabar atau lebih dikenali dengan panggilan Wak Mustar mula merasakan dirinya kini rimas dengan populariti yang dipegangnya setelah menang dalam program realiti Astro itu.

Bukan sombong tetapi dia yang sudah biasa dengan kehidupan sederhana dan kurang dikenali itu mahu menjalankan aktiviti hariannya kini seperti dahulu.

Wak Mustar yang berusia 47 tahun ini mahu kehidupan dulunya sebagai tukang buat rumah dan hidup dalam kelompoknya sahaja, tanpa ada yang mengenalinya ke mana sahaja ditujunya kembali kepada dirinya.

“Saya tak mahu popular sangat sebenarnya. Saya ni seorang yang pemalu. Ketika saya masuk Kilauan Emas 5 dulu pun, pada hemat saya mahu sampai ke pusingan pertama atau kedua sahaja.

“Tidak berangan langsung untuk sampai ke pusingan akhir kerana niat saya hanya mahu mencuba nasib sama ada dapat kad hijau atau merah semasa uji bakat dulu,” katanya kepada Zass. 

Bapa kepada lima cahaya mata ini juga mengakui yang dirinya lebih suka hidup di kelilingi kelompok masyarakat yang sedikit daripada kehidupan yang punyai ramai orang.

“Bagaimanapun, saya masih bersyukur kerana menjadi juara Kilauan Emas yang lalu kerana disukai penonton. Saya pergi bank, orang kenal, saya pergi kedai, orang kenal.

“Jadi saya perlu layankan sahaja sekiranya ada peminat yang mahu bergambar bersama saya jika ke mana saya pergi walaupun hati saya mula hambar. 

"Kalau boleh lupakanlah saja saya. Sebenarnya saya mahu kembali kepada kehidupan lama,” katanya.

Bercerita pula mengenai pekerjaan lamanya dulu iaitu tukang rumah, dia juga akui yang hatinya mula tawar hati untuk terus bertukang kerana banyak projek diambil alih oleh pekerja Indonesia.

“Saya sebenarnya sebelum masuk Kilauan Emas 5, saya patah semangat untuk terus bertukang kerana kerap tidak dapat projek apabila tukang Indonesia yang ambil alih.

“Justeru apabila kawan-kawan sarankan saya untuk masuk program itu, saya cuba nasib sahaja, mana tahu bernasib baik. Dan sejak menjadi juara itu, saya terima beberapa persembahan.

“Tetapi kini saya mahu kembali ke kehidupan lama dan tidak mahu lagi keluar TV. Termasuk jika ada tawaran berlakon, saya tidak mahu,” katanya. 


Jual motosikal beli kereta 

Sepanjang Ramadan ini juga, Wak Mustar lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga tanpa menerima undangan persembahan atau kerja lain.

“Duit RM100,000 yang saya menang dulu belum dapat lagi sebab memakan masa tiga bulan. Jadi sepanjang Ramadan, saya gunakan wang persembahan sebelum Ramadan dan elaun ketika berada di Kilauan Emas untuk berbelanja.

“Saya mahu membantu isteri menguruskan anak-anak sepanjang Ramadan ini kerana ketika di Kilauan Emas saya kurang bersama mereka,” katanya yang juga hanya akan menjamah kuih dua tiga ketul ketika berbuka kerana kurang selera makan.

Mengulas pula perihal motosikal yang diterimanya setelah menjuarai KE, Wak Mustar berkata, dia telah menjualnya dan menukar kepada kereta jenis Toyota.

“Alhamdulillah dengan adanya kereta itu, isteri dan anak-anak suka dan mudah untuk ke mana-mana, berbanding motor yang hanya boleh dinaiki dua orang sahaja,” katanya mengakhiri perbualan.

0 comments:

share2