Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 27, 2015

TEMERLOH: MANGSA BANJIR TERIMA RUMAH


Mangsa banjir terima rumah


Sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini sudah tentu satu rahmat yang tidak pernah terfikir di benak fikiran seorang warga emas di Kampung Loyang, Sanggang di sini apabila menerima sebuah rumah baharu.

Serimah Simin, 76, antara mangsa banjir di daerah Temerloh yang mengalami kerugian apabila kediaman ditenggelami banjir besar hujung tahun lalu bersyukur dengan bantuan kerajaan tersebut.

Menurutnya, selepas banjir besar hujung tahun lalu, dia tidak pernah menyangka akan menerima sebuah rumah yang ternyata jauh lebih selesa, dibina kerajaan bagi menggantikan rumah lamanya.

“Sudah tentu saya bersyukur, sekarang Ramadan, bulan yang penuh rahmat dan tidak lama lagi kita akan sambut Syawal, sudah tentu ini merupakan pemberian yang sangat dinantikan,” katanya.

Serimah ditemui pada majlis penyerahan rumah mangsa banjir yang disempurnakan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh, Yusuf Abd Ghani.

Turut hadir wakil Maj-lis Keselamatan Negara Muhamad Amin Safie, Penghulu dan Ketua Kampung Loyang serta kakitangan JKR Temerloh.

Yusuf berkata, bagi daerah Temerloh sebanyak lima unit rumah yang sama dibina JKR telah disiapkan sejak banjir besar melanda hujung tahun lalu manakala baki tiga lagi akan diserahkan kepada pemilik menjelang Syawal ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan JKR Temerloh yang beri komitmen baik sepanjang proses pembinaan rumah itu.

“Sokongan daripada wakil rakyat, jabatan dan agensi lain yang berkaitan dan penduduk kampung di setiap kawasan pembinaan rumah ini juga sangat baik,” katanya.

0 comments:

share2