Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 14, 2015

'SINGAPURA JANGAN MENIPU JIKA NAK MENANG'


sukan sea


"JIKA nak menang, menanglah tetapi mesti cara 'jantan' dan bermaruah bukannya dengan cara menipu," luah Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang tidak berpuas hati dengan keputusan berat sebelah ketua pengadil di Sukan SEA ke-28.

Pesilat negara, Mohd Fauzi Khalid yang beraksi dalam acara Putra Kelas F (70-75kg) gagal mara ke final selepas tewas kepada wakil Singapura, Muhammad Nur Alfian Juma'en 0-5 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura, semalam.

Sebelum perlawanan berakhir, pesilat Malaysia mendahului peserta tuan rumah dengan mata 4-1, namun keputusan rasmi tiba-tiba berubah kepada 5-0 yang memberi kemenangan kepada pesilat Singapura.

Megat Zulkarnain berkata Mohd Fauzi mendahului pesilat Singapura dengan mata 4-1 hingga minit terakhir pertarungan, namun keputusan tiba-tiba berubah satu saat sebelum perlawanan tamat.

"Pada saat terakhir perlawanan, pesilat negara jatuh apabila ditarik (melalui gerakan tidak sah) dan ketua pengadil perlawanan berbincang dengan wasit (juri) bagi mendapatkan pengesahan dan mereka mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.

"Mengikut peraturan, jatuhan tersebut tidak dikira kerana video ulang tayang jelas menunjukkan bahawa pesilat kita ditarik dan sepatutnya kita menang perlawanan tersebut," katanya kepada pemberita.

Megat Zulkarnain berkata beliau telah meminta pengurus pasukan negara, Osman Nok mengemukakan bantahan rasmi, walaupun sudah dapat menjangkakan keputusan yang bakal diterima, kerana mahu mempertahankan hak pesilat negara.

"Perkara ini sering berlaku apabila kedudukan 50-50, pasukan tuan rumah akan menggunakan pengaruh mereka untuk meraih kemenangan dan secara kebetulan empat pesilat kita bertemu pesilat Singapura hari ini (semalam)," katanya.

0 comments:

share2