Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 17, 2015

PELIK KENYATAAN DAP, PR TIADA KETUA


Muhammad Fauzi Yusoff


Georgetown - PR adalah gabungan Pas-DAP-PKR dengan tiada mana-mana parti yang boleh menjadi ketua kepada gabungan ini.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang baharu dilantik, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, amalan biasa ialah tindakan dilakukan melalui permuafakatan dan persepakatan.

Beliau berkata, agak pelik apabila DAP membuat satu kenyataan seolah-olah mengetuai PR tanpa sebarang perbincangan melibatkan ketiga-tiga parti. 

"Namun jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan DAP berhasrat untuk keluar dari PR, itu adalah lojik dan sesuai dengan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung DAP.
"Setakat ini PKR Pusat belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut ini. 

"Maka Pas Pulau Pinang menegaskan bahawa hubungan dengan PKR negeri berjalan seperti biasa," katanya dalam kenyataan media sulungnya selepas mengambil alih jawatan itu dari bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu minggu lalu. 

Oleh itu, Pas tiada sebarang masalah untuk menjalankan urus tadbir yang cekap dan efisen demi kemaslahatan rakyat khususnya di Pulau Pinang.

Menurutnya, suasana politik yang tidak menentu ini sedikit sebanyak meresahkan pelbagai pihak. 

Sehubungan itu, Pas Pulau Pinang berpendapat perlu ada suatu usaha untuk keluar dari semua kemelut. 

"Lim Guan Eng yang menyatakan dengan tuntas bahawa PR telah berkubur adalah agak mengelirukan," katanya. 

Mengenai pendirian Pas sendiri terutama berkenaan usul dalam muktamar Pas, Fauzi berkata, sewajarnya semua pihak faham bahawa ia bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama. 
"Kita perlu bersabar dan akur dengan ketetapan yang akan dibuat nanti.

"Saya berharap semua masalah akhirnya dapat diselesaikan memandangkan masih banyak usaha yang perlu dibuat bagi melestarikan kejayaan demi kejayaan yang bakal dikecapi," katanya.

0 comments:

share2