Polis berjaya menahan 112 orang termasuk seorang wanita atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis bersepadu yang dijalankan di kawasan Felda Panching dan Jaya Gading, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil tangkapan itu, pihak polis turut mengesan beberapa kesalahan berkaitan dadah di kalangan mereka yang ditangkap.
“Dalam tangkapan itu pihak polis mendapati tiga individu terlibat dalam kesalahan mengedar dadah dan enam lagi dipercayai memiliki dadah.
“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati 53 orang dipercayai memasukkan dadah dalam badan, manakala 43 orang lagi membabitkan kesalahan penagihan akan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan di negeri ini,” katanya ketika mengadakan sidang media di Dewan Semai Bakti Felda Sunfai Panching Selatan, di sini, semalam.
Katanya, operasi yang bermula pada jam 1 pagi dan berakhir jam 5.30 semalam, turut merampas pelbagai jenis dadah.
“Kita telah merampas sebanyak 5.38 gram dadah jenis heroin, syabu (0.1 gram), pil kuda sebanyak 190 biji dan wang tunai sejumlah RM525.
“Dalam operasi ini, polis turut merampas beberapa buah motosikal untuk semakkan rekod dan selaras senapang angin,” katanya.
Abdul Aziz memberitahu pihaknya juga berjaya menangkap seorang lelaki bersabit kes tahun 2011 di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, katanya, operasi ini diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat polis Daerah Kuantan, Deputi Superintandan Wan Zulkifly Sahabaludin bersama enam pegawai dan 79 anggota.
Menurut Abdul Aziz , operasi yang dijalankan ini membabitkan empat fasa iaitu melakukan serbuan dari rumah ke rumah, sekatan jalan raya di kawasan terpilih di kawasan Panching dan Jaya Gading.
Selain itu, operasi berkenaan turut diadakan di kawasan aktif (pot penagih) di dua perkampungan itu disamping menjalankan snap check di tepi jalan di kawasan berkenaan.
Tambahnya, penangkapan ini membuktikan pihak polis bersungguh-sungguh membanteras jenayah berkaitan dengan kes penyalahgunaan dadah.
Kesemua yang tangkapan akan ditahan di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
0 comments:
Post a Comment