Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 27, 2015

PASUKAN YANG DIJATUHI HUKUMAN BOLEH MERAYU



Hamidin Mohd Amin


Persatuan bola sepak kelab atau negeri yang dijatuhi hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rayuan boleh dilakukan jika Jawatankuasa Tatatertib FAM menyatakan keputusan yang dibuat terhadap sesuatu kes, boleh dirayu.

"FAM tidaklah sekejam yang digambarkan," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini. Beliau bagimanapun mengingatkan pihak yang terlibat supaya mengikut prosedur ditetapkan untuk membuat rayuan bagi meringankan hukuman dikenakan.

Hamidin berkata demikian bagi mengulas rasa tidak puas hati yang diluahkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat baru-baru ini yang menganggap denda sebanyak RM87,500 yang dikenakan FAM terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai melampau dan membebankan.

Skuad Penyu turut menerima hukuman bermain satu perlawanan tanpa penyokong susulan tindakan penyokongnya yang membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ketika Terengganu menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Mei lalu. 

Penyerang import Terengganu, Paulo Rangel dari Brazil pula digantung selama enam bulan selepas didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil pada perlawanan itu, sekali gus melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015.

Dalam pada itu, Hamidin menegaskan keputusan untuk meneruskan aksi Liga Super dan Liga Perdana 2015 pada bulan Ramadan ketika ini sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM dan telah dimaklumkan kepada semua pasukan bertanding sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2015 pada Februari lepas.

"Semua pihak perlu faham yang saingan Liga Malaysia 2015 bermula agak lewat kerana pihak FAM perlu terlebih dahulu menyelesaikan hal penajaan liga bagi musim baharu," katanya. 

Beberapa pihak seperti PBSNT dan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan berkenaan yang dikatakan seolah-olah tidak menghormati bulan puasa selain menyaksikan kemerosotan jualan tiket pada hari perlawanan akibat kekurangan penyokong.

0 comments:

share2