
Kuala Lumpur - Pengerusi Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyanggah dakwaan Umno bukan parti demokratik apabila mengumumkan penangguhan pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) di peringkat Bahagian dan Cawangan Umno selama 18 bulan dari tarikh sepatutnya ia diadakan.
Najib selaku Perdana Menteri turut menyifatkan penangguhan tersebut sebagai perkara biasa yang berlaku di dalam parti tersebut.
"Zaman pemerintahan Mahathir (bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan zaman Pak Lah (bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berlaku penangguhan seperti ini.
"Perkara ini bukanlah satu perkara yang luar biasa. Ia dibuat berasaskan rasional yang sama. Ini bukan bukti bahawa Umno bukan parti yang demokratik yang menafikan semangat demokrasi dan keterbukaan.
"Tetapi bila sampai masa, kita akan mengabaikan ruang untuk melakukan pemilihan untuk kepentingan yang lebih utama," katanya ketika ditemui pemberita selepas berlangsungnya Mesyuarat MT di sini, semalam.
Najib mengumumkan penangguhan 18 bulan bagi pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) di peringkat Bahagian dan Cawangan Umno, semalam.
Najib, yang juga Presiden Umno, berkata, penangguhan tersebut selaras dengan fasal 10.16 Perlembagaan Parti yang memberi hak kepada MT untuk menangguhkan pemilihan tersebut.
"Amat penting bagi kita untuk menjaga kepentingan rakyat. Kita mesti utamakan khidmat kita kepada rakyat dan memberi tumpuan kepada segala keperluan rakyat," katanya lagi.

0 comments:
Post a Comment