Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 6, 2015

KUANTAN: PREMIS KOTOR DIARAH TUTUP


Premis kotor diarah tutup


Sebuah premis menjual minuman di sebuah medan selera di Indera Mahkota di sini diarahkan tutup ekoran keadaan persekitaran dan perkakasan yang digunakan kotor.

Hasil Operasi Premis Makanan Bersih yang dijalankan Pegawai Berkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang malam kelmarin mendapati, persekitaran gerai tersebut termasuk dinding, lantai dan longkang tidak dibersihkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pemeriksaan juga mendapati perkakasan penyediaan minuman tidak dibersihkan dengan baik malahan peniaga turut menggunakan perkakasan yang rosak.

Menurutnya, memburukkan lagi keadaan apabila pengendali makanan didapati hanya memakai selipar, tidak memakai penutup kepala dan tiada rekod pernah menghadiri latihan pengendali makanan.

”Ketidakakuran yang ditemui semasa operasi dijalankan merupakan kesalahan berulang yang dilakukan di premis yang sama.

”Berdasarkan rekod, sebanyak 13 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah berkaitan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan ke atas premis di medan selera tersebut sebelum ini,” katanya.

Dr Zainal Ariffin berkata, arahan penutupan premis dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana keadaan premis kotor manakala tindakan penyitaan terhadap 17 perkakas kotor dan rosak dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983.

”Sepanjang Januari hingga April 2015, sebanyak 3,034 premis makanan telah diperiksa di seluruh negeri Pahang dan daripada jumlah tersebut sebanyak 11 premis makanan telah diberikan arahan penutupan dan 238 notis kehadiran di mahkamah bagi kesalahan di bawah
Peraturan – Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, pemilik dan pengusaha bertanggungjawab memastikan premis makanan mereka sentiasa bersih dan mematuhi peruntukan undang-undang.

”Tindakan penguatkuasaan melalui perlaksanaan sepenuhnya Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 adalah untuk melindungi kepentingan awam.

”Pengguna juga dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih kerana pilihan di tangan kita untuk membuat pilihan yang bijak dan selamat,” katanya.

0 comments:

share2