
Foto: Zainal A.Shamsudin
Pelancongan sukan menjadi sandaran Tourism Malaysia Pahang bagi merealisasikan sasaran kedatangan 10 juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini.
Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, penganjuran aktiviti sukan di destinasi pelancongan merupakan medium sesuai dalam mempromosi kawasan itu sama ada kepada peserta tempatan mahupun luar negara.
Merujuk kepada penganjuran Kuantan Half Marathon 2015 hari ini, beliau berkata laluan larian itu meliputi ikon pelancongan seperti Tanjung Lumpur yang popular sebagai destinasi makanan laut serta ikan bakar di negeri itu.
"Antara aktiviti sukan lain yang akan berlangsung tahun ini ialah Kuantan Century Ride iaitu acara berbasikal sejauh 160 kilometer pada 7 Jun ini yang turut memperkenalkan keistimewaan Pekan sebagai Bandar DiRaja Pahang.
"Cabaran Gunung Tahan pula akan berlangsung dari 29 hingga 30 Ogos, manakala Merapoh Forest Run pada 31 Okt bertujuan mempromosi Merapoh sebagai pintu masuk kedua ke Taman Negara selepas Kuala Tahan," katanya kepada pemberita selepas tamat acara larian itu di sini, hari ini.
Ishak yakin penganjuran aktiviti sukan boleh menarik kedatangan pelancong dengan mengambil kira kehadiran sebanyak 900,000 pelancong ke Pahang semasa menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2012.
"Kedatangan mereka juga akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan industri berkaitan seperti perhotelan kerana lazimnya mereka memilih untuk bermalam di sini, memandangkan aktiviti sukan bermula pada awal pagi," katanya.
Mengenai penganjuran Kuantan Half Marathon 2015 yang masuk edisi ketiga tahun ini, Ishak berkata sebanyak 2,500 peserta menyertainya dalam tiga kategori iaitu 21km, 10km dan 5km 'Fun Race' yang merupakan kategori baharu diperkenalkan kali ini.
Sebanyak 121 peserta antarabangsa turut mengambil bahagian dengan penyertaan paling banyak dari Singapura iaitu 35 orang, diikuti Britain (23 orang), Indonesia (12), Taiwan (9) dan Australia (6).
Bagi juara kategori 10km lelaki veteran, Mohd Kassim Abdullah, 47, beliau menyifatkan kemenangan itu berjaya menebus kekecewaannya selepas hanya menduduki tempat kelima pada acara berkenaan tahun lepas.
"Saya menjalani latihan lima kali seminggu sebagai persediaan, bersama rakan Malik Musa yang turut menyertai larian ini. Kami bertekad mahu membawa pulang pingat sebagai buah tangan ke Dungun, Terengganu," katanya yang merupakan kakitangan kerajaan.
Malik, 47, seorang pekerja swasta pula menyifatkan kejayaannya meraih tempat ketiga dalam kategori 21km lelaki veteran dengan masa 1 jam dan 26 minit, sebagai pencapaian peribadi terbaik kerana ini penyertaan pertamanya dalam kategori itu.
"Selalunya saya menyertai kategori 10km. Tahun ini saya hendak mencabar diri sendiri dan ini memerlukan disiplin yang sangat kuat untuk menjalani latihan" katanya.
Sementara itu, kerani Chia Lee Chin, 46, yang mendapat tempat ketiga kategori 10km wanita veteran berkata beliau sentiasa menanti-nantikan acara larian di Kuantan itu, selepas aktif dalam aktiviti itu sejak berusia 20 tahun.
Beliau juga berpendapat setiap wanita perlu melibatkan diri dalam sukan bagi memastikan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik kerana peranan wanita sangat penting dalam keluarga. - Bernama

0 comments:
Post a Comment