
Sesiapa yang melihat keadaan Yazid Mat Desa pasti tersentuh dengan penderitaan yang ditanggung oleh bapa kepada empat anak itu.
Bayangkan pada usia 54 tahun, di saat anak-anak sedang membesar dan memerlukan perhatian seorang ayah, Yazid disahkan doktor menghidap penyakit saraf sejak lima minggu lalu menyebabkan dia tidak mampu bergerak seperti insan normal.
Malah, percakapannya menjadi kurang jelas dan kini kehidupannya jauh berubah apabila terpaksa bergantung harap kepada isteri serta anak-anaknya untuk bergerak.
Dia dilihat terpaksa berkerusi roda apabila doktor mengesahkan sarafnya dan deria rasanya tidak berfungsi.
“Mulanya rasa berasa kebas di kaki sebelah kiri dan mulut, saya ingatkan itu merupakan perkara biasa.
“Namun, setelah merasa tidak sedap hati, saya ke hospital doktor memberitahu saraf saya tidak berfungsi.
“Waktu itu saya amat sedih terutamanya ketika memikirkan anak-anak saya yang sedang membesar,” katanya.
Yazid memberitahu dia kini masih mendapatkan rawatan di hospital dan berharap penyakit ini dapat disembuhkan segera.
Katanya, buat masa sekarang dia masih diberikan cuti oleh majikan bagi membolehkan rawatan susulan diteruskan.
“Saya bernasib baik mendapat majikan yang memahami dan sanggup memberi cuti ihsan untuk saya meneruskan rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Yazid turut berterima kasih kepada pemimpin di daerah ini kerana sudi melawat dan menghulurkan sumbangan.
“Saya amat menghargai sumbangan yang diberikan kerana ia dapat membantu meringankan bebanan ditanggung.
“Sekurang-kurangnya keperluan harian itu dapat disempurnakan menerusi sumbangan yang diberikan itu,” katanya.
Sementara itu, Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, lawatan ini ke rumah Yazid ini diadakan sebagai tanda prihatin beliau terhadap nasib yang menimpa masyarakat di kawasan diselianya.
“Saya percaya lawatan dan sumbangan yang diberikan itu mampu memberi suntikan semangat untuk Yazid terus sembuh,” katanya.
Andansura memberitahu program lawatan ini setiap bulan diadakan dalam usaha membantu golongan memerlukan.

0 comments:
Post a Comment