Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 27, 2015

KUANTAN: HOTEL, RESTORAN AMBIL KESEMPATAN TIADA SIJIL HALAL


Hotel, restoran ambil kesempat tiada sijil halal


Dua hotel dan dua restoran di bandar ini yang tidak mempunyai sijil halal dikesan melakukan kesalahan iklan bufet Ramadan dan berbuka puasa dalam operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, di sini, kelmarin.

Dalam operasi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) itu mendapati hotel berkenaan bukan sahaja mempamerkan iklan bufet Ramadan dan Berbuka Puasa melalui risalah tetapi turut membuat promosi di radio dan laman sosial.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan Abdul Manan berkata, sebelum ini, sijil halal hotel terbabit ditarik balik oleh pihak berkuasa kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimana pun, pihak hotel tersebut masih mengiklankan bufet Ramadan di media massa manakala sebuah hotel lagi yang terletak di bandar Kuantan turut melakukan kesalahan sama apabila mengiklankan promosi berbuka puasa pada banting.

“Kita mengarahkan mereka untuk menurunkan semua banting dan menarik balik promosi melalui media massa yang dilakukan. Pemantauan secara susulan akan dijalankan untuk memastikan pihak hotel dan restoran peka terhadap perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri, Alwi Abd Hamid berkata, restoran dapur sebuah restoran di Indera Mahkota dikenakan tiga kompaun oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana pekerja memakai selipar manakala sebuah restoran Nasi Arab pula dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mengambil suntikan kesihatan.

“Selain itu, sebuah hotel turut dikenakan tiga kompaun oleh MPK atas kesalahan tidak memberikan suntikan kesihatan kepada tiga pekerja dan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kerana gagal meletakkan tanda harga pada air minuman.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan untuk memastikan pihak hotel dan pemilik restoran peka terhadap peraturan yang harus dipatuhi terutama membabitkan kebersihan, halal dan tanda harga,” katanya.

0 comments:

share2