Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 12, 2015

KUALA LIPIS: PENDUDUK GEMPAR API MENJULANG


Penduduk gempar api menjulang


Kira-kira 500 orang penghuni Taman Perumahan Bandar Baharu Lipis di sini gempar apabila melihat api tiba-tiba menjulang naik membakar belukar kebun getah, berdekatan kawasan kediaman itu kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu mengejutkan penduduk di situ yang rata-rata baharu selesai makan tengah hari dan bertolak ke pejabat kerana lokasi belukar kebun berkenaan terletak agak tinggi berhampiran kediaman mereka.

Seorang penduduk Taman Perumahan Bandar Baharu, Jesni Ismail, 46, berkata ketika kejadian itu dia baharu sahaja selesai bersolat dan berpakaian untuk bertolak ke tempat kerja tidak menyangka belukar di kebun terletak di atas bukit itu terbakar.

“Saya dengar beberapa orang jiran wanita menjerit memberitahu kebun getah terbakar. Saya terus meluru keluar untuk melihat.

“Kami bimbang kalau kebakaran tersebut menyebabkan bahan kering yang terbakar ditiup angin dan jatuh ke bumbung rumah, tambah lagi dengan keadaan cuaca panas ketika ini,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mujurlah anggota bomba segera tiba di lokasi kejadian dan berusaha memanjat bukit untuk memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, anggota berkenaan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.53 petang.

“Seramai lima orang anggota bomba dan sebuah jentera pemadam berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan kebun seluas 0.6 hektar dalam masa hampir sejam.

“Bagaimanapun tidak diketahui punca sebenar kejadian ini, tetapi berkemungkinan daripada api puntung rokok atau kecuaian pihak tertentu membuat pembakaran terbuka,” katanya.

Menurutnya, pemilik kebun dan pengusaha ladang pertanian diminta tidak melakukan pembakaran terbuka ketika pembersihan kawasan terutamanya jika lokasi itu berdekatan kawasan perumahan dan premis di bandar ini.

0 comments:

share2