
PADA masa kini memang merupakan satu pemandangan yang biasa sekiranya ternampak sekumpulan orang yang beramai-ramai menjamu selera dan berkumpul tetapi mata masing-masing lebih tertarik untuk melihat telefon pintar serta gajet-gajet canggih daripada menghabiskan masa berbual-bual di antara satu sama lain.
Namun, menerusi satu perkongsian penulisan dari Jeshua Unintentionally ini memang benar-benar menimbulkan rasa terharu apabila dia berkongsi cerita mengenai seorang nenek yang berkumpul dengan ahli keluarganya tetapi masih tetap merasakan dirinya berseorangan.
Nak tahu kenapa?
Sebabnya mudah sahaja, kerana anak, menantu dan cucu-cucunya lebih gemar melayan gajet mereka daripada berborak dengannya.
“Terdapat seorang nenek yang duduk menjamu selera bersama-sama dengan ahli keluarganya tetapi dalam masa yang sama dia tetap rasa berseorangan.
“Setiap dari mereka kecuali nenek itu kelihatan sibuk dengan ipad dan telefon masing-masing sejak tadi.
“Nenek itu turut cuba-cuba berbuat ‘sibuk’ dengan selalu bertukar kedudukannya, menguap, termenung dan kadang-kala dia tersenyum melihat telatah cucunya yang ketawa melihat video daripada tabletnya.
“Menerusi pemerhatian, tiada sebarang perbualan yang diucapkan oleh mereka sejak mula-mula masuk ke kedai. Pemandangan seperti ini seakan sudah menjadi satu perkara biasa dan diterima oleh semua orang,” kongsi Jeshua menerusi laman Facebook.
Menurut Jeshua dia berkongsi kisah ini hanya sekadar renungan buat dirinya dan kita semua di luar sana agar sentiasa menghargai individu yang kita sayang selagi mereka masih hidup di muka bumi ini.
Pengajarannya di sini, tinggal-tinggalkanlah sekejap daripada dunia alam maya, beri perhatian terhadap ahli keluarga yang sememangnya mengharapkan masa berkualiti anda dihabiskan sebaik mungkin dengan mereka.

0 comments:
Post a Comment