Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 3, 2015

`KEADAAN MENYAYAT HATI, KURUS KERING...'


Mangsa Pemerdagangan Manusia


Wartawan Bernama, Samantha Tan Chiew Ting melalui laluan tikus yang digunakan dalam pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia -Thailand dan berkongsi kisah pengalaman penduduk bertembung dengan warga asing yang cuba menyeludup masuk.

Kangar - "Ada ke harapan untuk mereka yang mengikuti laluan ini "... itulah persoalan yang bermain dalam minda semasa saya melalui laluan tikus dari Kampung Syed Omar di Perlis untuk melintas sempadan Malaysia -Thailand.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan aktiviti meredah hutan, jarak tiga kilometer itu bagaikan 10 kilometer memandangkan muka bumi yang berbukit bukau, laluan yang sempit, tidak rata selain berbatu, dilitupi daun, ranting dan dahan, bahkan gangguan serangga dan nyamuk. 

Penduduk tempatan membawa penulis melalui laluan tikus itu, yang merentasi sempadan Malaysia -Thailand, bagi membolehkan penulis melihat sendiri sejauh mana susah payah atau mudah untuk bolos masuk sempadan negara.

Laluan tikus ini adalah antara yang popular bagi penyeludup sejak 1970-an, memandangkan wujudnya garis sempadan tidak berpagar sepanjang empat kilometer yang merentasi hutan simpanan Malaysia -Thailand. Ia dikatakan sebagai laluan paling cepat untuk memasuki Malaysia.

Walaupun penat kaki penulis, namun perjalanan yang mencabar itu yang digunakan oleh warga asing yang bolos masuk sempadan negara tetap dilalui.

Penulis tertanya kepada diri sendiri bagaimana pelarian dewasa dan kanak-kanak Rohingya melintas laluan tikus ini tanpa beralas kaki dan dalam keadaan pakaian yang koyak-rabak, sedangkan penulis sendiri mendapati adalah sukar untuk berjalan walaupun berpakaian lengkap dan berkasut.

Selain laluannya berlingkar, penulis terpaksa mengharungi rumpai tinggi dan semak-samun serta berjalan atas lorong yang sempit di mana jika tersalah langkah pastinya terjatuh ke gaung.

Penduduk tempatan memaklumkan kepada penulis bahawa mungkin ada warga asing yang terjatuh ke dalam gaung ini memandangkan mereka melintas laluan itu pada sebelah malam untuk mengelakkan pasukan keselamatan dan penduduk kampung.


Mereka muncul dalam keadaan menyayat hati

Apabila penduduk kampung ditanya sama ada mereka pernah berdepan dengan warga asing yang menggunakan laluan tikus itu, mereka mengangguk kepala menandakan ya. Ramai telah bertembung dengan mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak di kaki bukit.

Mereka ditemui dalam keadaan yang menyayat hati - kurus kering hingga nampak tulang, berkaki ayam, pakaian koyak-robak dan terlalu lemah untuk bergerak.

Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam mengisahkan bagaimana beliau terdengar suara kanak-kanak apabila beliau ke dusun duriannya dalam hutan dua kali seminggu tetapi apabila kehadirannya disedari mereka menyembunyikan diri. 

"Ada satu ketika saya terdengar tangisan kanak-kanak tetapi tidak dapat menemuinya. Ramai orang kampung telah terserempak dengan mereka sehinggakan ada yang memberikan makanan kepada mereka," katanya.

Kampung Syed Omar yang terletak di Bintong mengambil masa perjalanan 10 minit dari bandar Kangar sementara jarak dari kampung itu ke sempadan Thailand adalah kira-kira tiga kilometer dengan masa perjalanan satu setengah jam dengan berjalan kaki.


Penduduk bersimpati

Nor Mahizan Kasim, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Syed Omar berkata, tidak pernah terlintas dalam fikiran penduduk kampung bahawa tapak-tapak kem haram dalam hutan ini digunakan untuk menempatkan pendatang. 

"Tiga tahun lepas saya pernah terjumpa kira-kira 10 orang berlari dalam keadaan tak terurus, ketakutan, muka pucat, kurus kering dan kaki macam lidi. Kesian sangat tengok keadaan mereka macam berbulan-bulan tak makan.

"Masa itu saya beri mereka air dan buah betik... mereka menelan terus buah itu sekali dengan kulitnya. Sayu hati saya tengok kenapa masih wujud keadaan seperti ini. Rakyat kita walaupun ada yang miskin tapi tidak seteruk itu," katanya.

Menurut Nor Mahizan, mereka ini tidak faham bahasa Melayu dan cuma berkomunikasi menggunakan isyarat tangan dan kemudiannya dihantar ke pusat Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

"Kita tidak boleh melindungi mereka walaupun keadaan mereka amat terharu kerana kita tidak tahu apa latar belakang mereka dan mungkin nanti nyawa kita dalam bahaya kalau kita melindungi mereka. Apa yang mampu kita buat, bagi mereka makan dan minum sebelum menghantar mereka ke UPP," jelasnya.


Pemerdagangan manusia perbuatan terkutuk 

Warga asing ini dipercayai Rohingya dan Bangladesh, mangsa pemerdagangan manusia di mana mereka dibawa dari Myanmar dan Bangladesh ke Thailand menggunakan laluan laut pada mulanya dan kemudian laluan darat merentasi sempadan Malaysia-Thailand.

Laluan tikus Kampung Syed Omar menjanjikan warga Rohingya dan Bangladesh peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik di Malaysia. Masyarakat Rohingya tidak bernegara kerana Myanmar tidak menganggap mereka sebagai warganya sementara warga Bangladesh pula mahu melepaskan diri daripada kemiskinan. 

Oleh kerana kesusahan hidup di kampung halaman, mereka tetap mengambil risiko untuk ke Malaysia dengan membayar jumlah wang yang besar kepada agen pemerdagangan yang sebaliknya menjadikan mereka sebagai tebusan dan menganiaya mereka.

Ia lebih teruk daripada penghambaan, dengan ramai daripada mereka yang berimpian besar untuk ke Malaysia mati di laluan tikus di kem di mana mereka dijadikan tebusan.

Isnin lepas (25 Mei) sebanyak 139 kubur yang mengandungi jasad Rohingya dan Bangladesh ditemui di Wang Kelian, Perlis di sempadan Malaysia-Thailand.

Sehingga kini, 35 jasad manusia telah ditemui di situ. Satu lagi kem baru telah ditemui di hutan simpanan Mata Ayer, juga di Perlis, dengan 91 kubur dikenalpasti dan menunggu untuk digali.

Saiz kem itu dikatakan separuh padang bola sepak dan lebih besar berbanding kem yang ditemui di Wang Kelian.

0 comments:

share2