Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 11, 2015

JABATAN METEOROLOGI NAFI GEMPA BUMI DI PAHANG


Jabatan Meteorologi Malaysia


Shah Alam – Jabatan Meteorologi hari ini menafikan khabar angin yang tersebar kononnya gempa bumi akan berlaku di Pahang dalam tempoh 36 jam akan datang.

Menerusi sebuah kenyataan, pegawainya, Zaidi Zainal Abidin berkata, maklumat yang disebar secara meluas menerusi media sosial itu tidak benar dan hanya bertujuan untuk mencetuskan panik di kalangan masyarakat.

“Khabar angin mengenai kejadian gempa bumi dan tsunami yang akan melanda Pahang dalam tempoh masa 36 jam seperti yang telah tersebar di media sosial adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak mudah percaya dengan sebarang bentuk penyebaran maklumat.

“Untuk pengesahan maklumat, orang ramai boleh merujuk laman Facebook dan akaun rasmi Twitter Jabatan Meteorologi,” katanya lagi seperti yang dipetik menerusi kenyataan tersebut.

Orang ramai juga boleh merujuk sebarang maklumat menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di http://www.met.gov.my atau mobile web rasmi m.met.gov.my.

Baru-baru ini orang ramai dikejutkan dengan penyebaran maklumat palsu menerusi aplikasi media sosial mengenai siri gempa bumi dan tsunami yang akan melanda Sabah, Sarawak dan Pahang.

Maklumat tersebut yang tersebar sejak dua hari lalu mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

0 comments:

share2