
IPOH - Seorang ejen ekor haram dikejarkan ke klinik selepas dia mengadu sakit jantung semasa serbuan berkaitan aktiviti ekor haram dilancarkan di Taiping semalam.
Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata lelaki berumur sekitar 50-an itu mendakwa sakit jantung akibat terkejut dengan serbuan itu.
"Namun setelah di rujuk ke klinik berhampiran, lelaki ini didapati tidak mengalami sebarang masalah kesihatan," katanya.
Lelaki itu adalah antara 31 individu yang ditahan dalam serbuan serentak yang dilakukan Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (STAGG) di Larut Matang.
Dalam serbuan itu, wang tunai berjumlah RM15,795 turut dirampas.
Khairi berkata dalam serbuan 1.45 tengah hari itu, 23 premis ejen ekor haram diperiksa di Kuala Sepetang, Matang, Changkat Jering, Simpang, Kemunting, Kampung Boyan dan sekitar Bandar Taiping.
Hasil operasi itu, polis menahan 10 wanita dan 20 lelaki berusia antara 22 dan 65 tahun yang merupakan ejen ekor haram manakala seorang lelaki lagi ditahan ketika sedang membeli nombor ekor, katanya.
Beliau berkata termasuk yang dirampas ialah 49 telefon bimbit dan 29 mesin pencetak.
Khairi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Judi Rumah Terbuka yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda tidak kurang dari RM20,000 hingga tidak lebih RM200,000.
Kes turut disiasat mengikut Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA) ke atas penganjur yang terbabit mendalangi aktiviti judi ekor haram itu, katanya.

0 comments:
Post a Comment