Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 16, 2015

650 ANGGOTA TENTERA BERTEMPUR


650 anggota tentera bertempur


Sungkai - Seramai 650 pegawai dan anggota tentera bertempur di kawasan Ladang Sungai Kelah, di sini dalam Eksesais Haringgaroo membabitkan gabungan latihan terbesar dua negara iaitu Tentera Darat Malaysia dan Tentera Darat Australia, semalam.

Serangan akhir Eksesais siri 66/2015 melibatkan pertempuran antara Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) dengan gabungan bersama satu kompeni daripada Australia Rifle Company Butterworth (RCB) melawan satu kompeni gabungan antara Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) dan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

Eksesais yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu latihan silang dan latihan medan bermula 5 Jun lalu berjaya melatih 4 RAMD dalam merancang dan melaksanakan peperangan sekali gus meningkatkan kerjasama antara dua negara. 

Panglima Briged Kesebelas Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Badrul Hisham Mohamad berkata, latihan itu lebih menumpukan kepada pengetahuan taktikal dan ketahanan fizikal dalam peperangan konvensional antara dua negara. 

“Objektif latihan kali ini berjaya apabila kebanyakannya menumpu kepada perkara taktikal dan menjadi matlamat untuk menjalinkan hubungan baik sedia ada. Sudah menjadi peranan tentera untuk berlatih dan berperang sebagai langkah persediaan pada masa hadapan selain membantu pihak berkuasa awam. 

“Sepanjang dua minggu latihan terbabit, banyak yang ditimba oleh mereka daripada hubungan baik ini dengan TDA dengan berkonsepkan latihan medan tempur dan gerak mara sebelum berakhirnya serangan yang dirancang hari ini (semalam),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Eksesais Haringgaroo Siri 66/2015. 

Hadir sama, Wakil Senior Pertahanan Pesuruhjaya Tinggi Austalia, Kapten Kumpulan RAAf, Matthew Burs Dudley; Pegawai Pemerintah 2/30 Kumpulan Latihan RCB, Leftenan Kolonel Thomas Steve Tilbrook dan Ketua Staf 11 Bridged, Leftenan Kolonel Mat Noh Ngadiman. 

Menurutnya, siri latihan itu akan diteruskan di bawah Malaysian Australian joint Defence Programme (MAJDP).

0 comments:

share2