Minggu lepas Tok Awang ke Pekan, jumpa kawan-kawan lama masa sekolah rendah dulu. Kebetulan Tok Awang ada di Kuantan sehari sebelum tu jadi mudahlah Tok Awang ke sana. Ini cerita tentang pertemuan semula kawan-kawan selepas leboh 40 tahun berpisah.
Masa sekolah rendah darjah satu Tok Awang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, Kuala Lipis. Arwah ayah Tok Awang kerja sebagai renjer Perhilitan, dulu digelar Margastua... orang putih panggil 'Game Warden'.
Kami tinggal di kuaters kerajaan di Tanjung Jati. Ke sekolah Tok Awang naik bas. Ada perkhidmatan bas Lin Siong pada masa tu. Tapi Tok Awang ingat juga pernah ke sekolah naik bas 'RIDA' (MARA). Bas pendek macam roti paun.
Tok Awang ikut arwah ayah ke Pekan masa darjah dua separuh tahun. Perjalanan masa tu sangat jauh rasanya. Jalan Jerantut - Kuala Lipis masih belum dibina. Yang ada hanya jalan Kuala Lipis - Benta dan Jerntut.
Tok masih ingat, perjalanan seharian dan menyeberang beberapa sungai menaiki feri. Mungkin feri di Jerantut Feri kerana lalui jalan Jerantut - Maran - Kuantan. Yang pasti masa tu menyeberangi sungai Pahang di Peramu masih gunakan feri. Ada 2 buah feri yang berikan perkhidmatan waktu itu. Pada waktu itu juga, tahun 1965 agaknya, jambatan Sultan Abu Bakar di Peramu sedang dibina.
Mula-mula di Pekan, kami belum dapat rumah kerajaan, jadi untuk beberapa bulan terpaksa tinggal di rumah sewa di Kg. Parit. Mandi air sungai kerana masih tiada air paip dan tiada perigi. Letrik Tok Awang tak ingatlah pulak ada ke tidaknya.
Lepas beberapa bulan barulah arwah ayah dapat rumah kerajaan dekat dengan berek polis dan tak jauh dari padang besar sekarang. Rumah berek 3 pintu. Salah seorang jiran kami adalah posmen. Dia suka ayam sabung dan ada beberapa ekor ayam laga yang dipeliharanya.
Antara kawan-kawan masa kecik yang Tok Awang ingat adalah Sarifuddin Ghani (sekarang Dato' Seri Ketua Polis Pahang). Selain darinya, kawan rapat Tok masa tu adalah Syed Jaafar, Muhammad Mahmud, Halim dan beberapa lagi yang Tok dah tak ingat.
Tok bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pekan sampai darjah tiga dan sambung darjah empat hingga enam di Sekolah Kebangsaan Pusat Pekan. Tentulah banyak yang berlaku selama waktu itu dan tentulah juga banyak yang Tok Awang dah lupa.
Yang Tok Awang masih ingat dan segar dalam ingatan adalah beberapa perkara; Pasukan bola kami di Sekolah Kebangsaan Pusat Pekan pada tahun 1968 jadi juara dalam peringkat Pahang Timur dan bersedia untuk menentang Pahang Barat dalam pertandingan MSSP (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang). Tapi malang bila Tok Awang cedera di tulang kering dalam satu perlawanan dan tak dapatlah Tok Awang bermain melawan Pahang Barat. 22 hari Tok Awang merengsa di hospital bila betis terpaksa di buat pembedahan kecil.
Kisah lain ialah apabila Tok Awang kena rotan dengan guru besar akibat bergaduh dengan seorang kawan perempuan, namanya Rohana... Tok Awang dah memacak pensil dilengannya dan berdarah. Tok dah lupa pergaduhan itu sebab siapa dan kerana apa.
Pada malam 27hb Mei lalu, Tok berkesempatan bertemu dengan kawan-kawan lama dalam satu pertemuan yang dirancang bertempat disebuah restoran di Kg. Mengkasar, Pekan. Ramai yang datang namun ada juga yang tak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu. Banyak yang kami percakapkan namun masa terasa terlalu mencemburui. Tak sempat habis apa yang ada didalam hati.
Namun, kekesalah dan rasa bersalah selama lebih 40 tahun sudah dapat Tok redakan apabila Tok dapat meminta maaf kepada Rohana atas perbuatan Tok yang menikam lengannya dengan pensil itu. Walaupun ianya kisah dizaman budak-budak, namun rasa bersalah tetap juga kita terasa.
Tok nak ucapkan terima kasih kepada kawan-kawan Tok semua, yang hadir dan yang tidak dapat hadir pada malam itu. Umur kita pun sudah semakin meningkat, entah bila agaknya kita dapat berjumpa lagi dalam pertemuan seperti ini. Ada terasa ingin memutarkan masa kezaman itu, tapi untuk apa dan kerana apa Tok tak tahu.
Tok Awang Selampit.
0 comments:
Post a Comment