Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 28, 2015

TIDAK SERIK KENA PENJARA, SEBAT


Tidak serik kena penjara, sebat


Teluk Intan - Tidak serik walaupun pernah dipenjarakan selama 12 bulan dengan satu sebatan atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) pada 2011, seorang warga Indonesia ditahan sekali lagi oleh pihak berkuasa selepas didapati memiliki cop palsu pada dokumen perjalanan miliknya.

Dalam Ops Pintu disertai enam pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, malam kelmarin itu, dua lagi warga Indonesia turut dicekup di sebuah rumah sewa di Jalan Maharajalela, Kampung Banjar, di sini.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan melakukan intipan sebelum serbuan dijalankan malam kelmarin.

Menurutnya, ketika pemeriksaan di rumah sewa berkenaan, seorang lelaki warga Indonesia didapati cuba mengelak daripada ditahan dengan bersembunyi di sebalik pintu, namun taktiknya itu dapat dihidu oleh anggota Imigresen.

“Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 34 tahun. Wanita berkenaan dijumpai sedang menyorok dalam timbunan tilam bagi mengelak dikesan oleh anggota Imigresen.

“Kami juga menahan seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun yang dipercayai majikan pasangan suami isteri terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui kelmarin.

Khairul Anuar berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas dokumen perjalanan milik ketiga-tiga warga Indonesia terbabit mendapati kesemuanya memiliki cop palsu dan mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan.

"Pasangan suami isteri warga Indonesia itu bekerja bersama rakan senegaranya dalam sektor pembinaan dalam skala kecil di sekitar kawasan Teluk Intan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati, pasangan suami isteri itu masuk ke negara ini secara sah pada Mac lalu namun cuba melanjutkan tempoh dengan menggunakan khidmat ejen bagi mendapatkan cop palsu," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu dan majikan mereka bakal berdepan hukuman berat di bawah Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen iaitu mempunyai cop palsu pada dokumen perjalanan milik mereka. 

“Kini ketiga-tiga suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan pihak kami.

“Kita juga akan mengambil cap jari kesemua warga asing terbabit untuk tujuan biometrik demi keselamatan negara.

“Ini kerana, penggunaan biometrik akan lebih memudahkan anggota kami untuk mengesan kesemua warga asing yang disenarai hitam di pintu-pintu masuk negara,” katanya.

0 comments:

share2