Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 28, 2015

TERSUMBAT PUNCA BANJIR


Tersumbat punca banjir


Klang - Sudah lebih enam bulan pengusaha premis perniagaan dan orang ramai di Jalan Sentul, Pandamaran dihimpit bau busuk akibat takungan air longkang rosak, malah terpaksa berdepan banjir kilat setiap kali hujan melanda kawasan tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati lorong belakang lot perniagaan berkenaan jijik dengan bau menjengkelkan, air bertakung membuak naik dan sampah terapung, jelas sekali mencemar imej bandar diraja itu.

Seorang pengusaha kedai perkakas rumah, Keng Huat Chan, 55, yang menjalankan perniagaan di situ selama 30 tahun berkata, takungan air longkang di belakang premisnya sering mengundang masalah banjir kilat sehingga memasuki lot perniagaan yang beroperasi di situ.

“Setiap kali hujan lebat, air akan naik sehingga paras buku lali dan memakan masa sehari dua untuk surut, malah sampah turut terapung. Perkara itu menjejaskan operasi perniagaan kami.

“Saya sebagai peniaga terpaksa memasang perangkap sampah di pintu belakang kedai. Beberapa bulan lalu pekerja saya diserang demam denggi, sebagai inisiatif saya terpaksa melakukan semburan ‘fogging’ sendiri bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Huat Chan berkata, dua kali aduan diajukan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK), namun tiada tindakan susulan dilakukan.

Menurutnya, longkang di situ rosak akibat lorong belakang berkenaan dilalui lori pengangkut sampah menyebabkan berlaku runtuhan yang menutup saluran air.

Sementara itu, seorang pesara yang juga pelanggan restoran di lot perniagaan berkenaan, Yahya Lakim, 68, berkata, air longkang naik walaupun hujan hanya sejam.

“Kadang-kadang air naik hingga paras tayar kereta. Di sini ada kedai makan perlu jaga kebersihan untuk jaga periuk nasi. Phak berkaitan segera menyelesaikan masalah di Jalan Sentul ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Cawangan Pandamaran Jaya, Tan Bok Koon mendesak Adun Pandamaran, Tan Pok Shyong turun padang meninjau permasalahan rakyat, bukannya tidak ada peruntukan untuk tamatkan derita penduduk di kawasan sendiri.

“Saya kecewa dengan sikap Adun di sini, sedangkan saya boleh menerima aduan penduduk setempat, inikan pula orang yang bertanggung jawab lepas tangan,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam MPK, Mohamad Affaizul Abdul Majid berkata, sehari selepas aduan dibuat' Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) melakukan kerja-kerja pembersihan longkang.

Sumber

0 comments:

share2