Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 11, 2015

TEMERLOH : APA SUDAH JADI SUNGAI PAHANG?

Apa sudah jadi Sungai Pahang?



Air Sungai Pahang yang biasanya agak jernih ketika musim panas bertukar menjadi amat keruh sejak kebelakangan ini tanpa diketahui punca sebenar sama ada kesan dari aktiviti pembalakan atau perlombongan di hulu sungai.

Kesan tersebut bukan baharu dirasai penduduk khususnya yang tinggal di kampung sepanjang Sungai Pahang tetapi berlarutan sejak sekurang-kurangnya tiga tahun dahulu.

Seorang penduduk Abd Ghani Mahusin, 45, berkata, paras air Sungai Pahang sepatutnya agak jernih terutama ketika musim panas bertukar sebaliknya apabila menjadi terlalu keruh.

Menurutnya, akibatnya ia akan menjejaskan penduduk yang menjadikan Sungai Pahang sebagai sumber pendapatan dan yang paling utama sumber bekalan air bersih penduduk tercemar dengan mendapan tanah yang mengalir bersama air sungai ini.

“Minggu lepas keadaan air Sungai Pahang masih jernih tetapi bertukar keruh dalam masa yang sangat singkat sejak kelmarin.

“Kira-kira tiga tahun lalu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) terpaksa menutup sementara loji bekalan air bersih berikutan kekeruhan air melebihi 1,000 NTU.

“Bukan itu sahaja, pengusaha ikan sangkar berdepan dengan kematian ternakan khususnya ikan tilapia yang tidak tahan dengan lumpur dan tanah yang dihanyutkan menerusi Sungai Pahang ini,” katanya.

Seorang penternak ikan, Mohamad Hisham Nordin berkata, kekeruhan melampau air Sungai Pahang juga menjejaskan pengusaha apabila lumpur tebal dan tanah dari hulu sungai melekat pada jaring sangkar ikan.

Menurutnya, beberapa kali tahun lalu dia membuat aduan berkaitan kekeruhan air Sungai Pahang kepada pihak berkuasa namun tetap tidak ada jawapan melainkan memaklumkan kesan pembangunan di hulu sungai.

“Pembangunan yang dilakukan tanpa dirancang dengan baik hanya memberikan keuntungan sedikit kepada segelintir pihak tetapi yang menderita akibat pencemaran ini terlalu ramai.

“Saya harap ada pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah ini yang sudah berlanjutan sejak lebih tiga tahun lalu,” katanya.




0 comments:

share2