TANGGAL 1 April 2015, rakyat di negara kita sekali lagi menjadi kecoh, kerana dasar baharu berkaitan ekonomi diperkenalkan. Ada yang tak faham, ada yang faham, ada juga yang buat-buat faham.
Justeru, pelbagai persepsi timbul dalam kalangan ahli masyarakat sehingga perkara itu menjadi bercelaru dan terkeliru. Malah, lebih menghiburkan kita lagi apabila GST dianggap dan diciptakan sebagai akronim yang melucukan. Perkara ini berleluasa dalam saluran media baharu seperti melalui ‘Muka Buku’ (Facebook) dan seumpamanya. Kesannya ialah ahli masyarakat menjadi bertambah keliru, walhalnya isu itu merupakan suatu dasar dan agenda utama negara. Mengapa hal ini demikian?.
GST atau dalam bahasa Inggeris goods and services tax ialah sejenis cukai yang merujuk kepada apa-apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang digunakan sebelum ini. Terdapat dua istilah dalam hal ini iaitu GST dan SST yang perlu difahami.
Dalam aspek bahasa, istilah ini ditemukan melalui bidang bahasa yang disebutkan sebagai laras. Laras bahasa ialah sejenis kelainan bahasa yang digunakan berdasarkan sesuatu bidang yang diceburi oleh seseorang.
Laras bahasa boleh diertikan sebagai gaya atau cara menggunakan sesuatu bahasa dalam sesuatu situasi. Laras akan sentiasa berubah-ubah berdasarkan fungsi dan keadaan.
Di samping itu, setiap laras menitikberatkan pilihan kata atau istilah dan menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau bidang tertentu.
Sesuatu istilah dalam laras tertentu digunakan untuk difahami oleh pengguna bahasa. Amat malang jika kita memperkenalkan sesuatu istilah itu tetapi tidak difahami oleh penggunanya, sedangkan matlamatnya untuk membolehkan pengguna itu akur dengan apa-apa yang dihasratkan.
Perkara yang sama berlaku pada GST, merupakan suatu dasar kerajaan yang perlu difahami dan dipatuhi oleh semua pihak.
Dalam usaha menjerayawarakan GST, alangkah baiknya jika pihak berkenaan menggunakan istilah yang mudah difahami oleh anggota masyarakat.
Kita sudah ada istilah dalam bahasa Melayu - cukai barangan dan perkhidmatan untuk GST, mengapa istilah itu tidak digunakan? Sebelum ini kita sudah ada istilah cukai jualan dan perkhidmatan untuk SST, apa alasan kita tidak mengguna pakaikannya?.
Sesuatu istilah jika ada pilihan lebih baik kita menyebarluaskan istilah yang mudah difahami oleh pengguna. Dalam banyak perkara dan dasar sebelum ini seperti DEB untuk Dasar Ekonomi Baru, SSM untuk Sistem Saraan Malaysia, dan banyak lagi, nampaknya mudah difahami dan diterima oleh rakyat.
Hal ini kerana istilah dalam bahasa Inggeris agak susah difahami kerana latar belakang pendidikan rakyat di negara ini sangat rencam.
Justeru, pada pandangan penulis, jika istilah cukai barangan dan perkhidmatan digunakan dalam usaha menguar-uarkannya sebelum ini tidak menimbulkan banyak masalah. Pihak Kastam yang bertanggungjawab dalam hal ini juga mudah menjelaskan perkara itu kepada orang ramai jika istilah itu dalam bahasa ibunda yang mudah difahami.
Dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang sesuatu dasar, kita perlu berfikir supaya sesuatu istilah itu mudah difahami begitu juga kaedah penjelasan yang mudah diterima. Contoh lain jika perlu disebut istilah GTP (Government Transformation Programme), kita sudah ada program transformasi kerajaan, mengapa istilah ini kita tidak lazimkan?
Segala-gala bertitik-tolak kepada kemahuan dan rasa cinta kita terhadap bahasa kita sendiri. Tepuk dada tanya selera.
0 comments:
Post a Comment