Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 4, 2015

ROMPIN : MAMPUKAH PAS GUGAT KUBU P091 BN?

PRK Rompin


Setelah mengharungi tempoh kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin selama 13 hari sejak penamaan calon pada 22 April lepas, esok merupakan penentuan siapa menjadi pilihan 53,294 pengundi kerusi Parlimen itu.

Mampukah calon Pas, Nazri Ahmad, anak peneroka Felda Keratong 5 dekat sini, yang kini Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang, yang sering menekankan untuk membawa suara generasi muda, yang merupakan lebih 40 peratus daripada pengundi Parlimen Rompin, ke Parlimen menggugat kubu Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon berpengalaman dalam bidang politik dan pentadbiran negeri Datuk Hasan Arifin? 

Bagi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berpendapat, kedua-dua calon mempunyai kekuatan masing-masing, dan sekali gus mewujudkan sedikit persaingan bagi merebut kerusi Parlimen tersebut.

Bagi Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara itu berpendapat, Hasan mempunyai kelebihan kerana pengalamannya yang luas.

Selain itu, Hasan, 62, merupakan anak kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondong di sini dan dikenali penduduk tempatan ekoran penglibatannya dalam politik sejak begitu lama.

Sementara Nazri, 40, yang merupakan peniaga, adalah generasi kedua Felda Keratong 5, mempunyai kekuatan tersendiri dari segi umur dan mampu memahami masalah orang muda, kata Abdul Halim.

"Pendapat saya Hasan merupakan calon yang baik dan juga 'winnable candidate' kerana beliau dekat dengan rakyat namun tentangan yang ditunjukkan oleh anak muda seperti Nazri tidak boleh dipandang rendah," katanya.

Abdul Halim berkata, kedua-dua calon dilihat telah berusaha gigih meraih undi, dan "mereka seharusnya mengambil peluang ini untuk memperbetul semua fakta yang masih salah atau keliru yang tersebar sepanjang tempoh berkempen supaya pengundi dapat menilai dengan jelas."

Sejak kempen bermula, Pas memfokuskan kempennya kepada dua isu iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan isu Felda terutama masalah rumah generasi
kedua peneroka Felda memandangkan pengundi dari hampir 20 penempatan Felda di Parlimen Rompin merupakan 51.51 peratus daripada jumlah pengundi yang layak.

Malah Pas menganjurkan perhimpunan peneroka Felda selama dua hari di Felda Keratong 4 sebelum ini, dan semalam mengadakan ceramah mengenai CBP di Bandar Muadzam Shah.

BN tidak mengaku kalah, malah dengan agresif telah menepis segala dakwaan Pas, dan mengatasi masalah yang dibangkitkan terutama harga rumah generasi kedua Felda dengan menurunkan harga rumah itu dari RM125,000 kepada RM90,000 seunit dari segi jual beli, dan mengadakan juga konsep sewa beli buat golongan yang tidak mampu.

Bagi pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, beliau jangka BN bakal meraih kemenangan berdasarkan faktor calonnya yang berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran yang memberikan kelebihan kepada parti.

Hasan merupakan bekas timbalan menteri besar Pahang dari tahun 1995 hingga 1999 dan bekas Adun kawasan Tioman dan Bukit Ibam, yang merupakan antara tiga Dun di bawah Parlimen Rompin, selama empat penggal bermula 1990.

Walau bagaimanapun, katanya calon Pas telah memberi sedikit persaingan kerana isu-isu semasa GST.

"Pengaruh Pas di Rompin tidak kuat, tetapi pengunaan isu-isu luar, bukan tempatan boleh mempengaruhi pengundi," katanya.

Bagi Ahmad Atory, jika jentera BN mampu memberikan penerangan berkesan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Pas, parti itu bukan sahaja mampu mengekalkan kerusi Parlimen Rompin, malah mengekalkan jumlah majoriti undinya.

Pada PRU13, penyandang kerusi itu Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan untuk penggal keenam setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di
Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Hasan sejak penamaan calon turut menyelami masalah setempat, terutama isu generasi muda termasuk perumahan generasi kedua peneroka Felda serta melahirkan hasratnya untuk membangunkan golongan muda dengan kegiatan perikanan berimpak tinggi, meningkatkan industri pelancongan dan pertanian moden yang mampu meningkatkan pendapatan lumayan dan tetap bagi golongan tersebut.

Malah suaranya yang memohon agar Perdana Menteri mengkaji semula harga rumah generasi kedua Felda di Rompin kerana masalah kemampuan kewangan anak-anak peneroka, telah didengari oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Sabtu lepas Najib mengumumkan harga baharu RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual beli kepada generasi baharu Felda di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.

Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka pada 30 April lepas di empat pusat pengundian, dan seramai 52,744 lagi pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka esok.




0 comments:

share2