Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 25, 2015

PULAU PINANG DIMINTA IKHLAS BANTU PELARIAN


Zahid Hamidi


KAJANG - Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta menunjukkan keikhlasan dalam memperjuangkan hak-hak kemanusiaan dengan membenarkan penempatan sementara kepada pelarian Rohingya dan Bangladesh diwujudkan di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Imigresen telah mengenal pasti beberapa lokasi, termasuk di Pulau Pinang, untuk menempatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh yang masih terkandas di perairan antarabangsa.

Namun, beliau berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, mahu pelarian-pelarian ini ditempatkan di tanah-tanah milik kerajaan Persekutuan. 

"Sudah tentu kita mahu melihat keikhlasan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP dan dianggotai Pas dan PKR yang menjadi jaguh pejuang kemanusiaan sejati dan sentiasa menyalahkan kerajaan Persekutuan tidak melaksanakan dasar-dasar kemanusiaan, untuk menerima pelarian berkenaan di Pulau Pinang. 

"Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan lebih ikhlas berbanding Pulau Pinang dalam penempatan sementara pelarian. Saya berharap masyarakat dapat menilai keikhlasan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Malaysia di sini semalam.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik untuk dijadikan penempatan sementara 7,000 pelarian Rohingya yang masih terdampar di perairan antarabangsa bagi memudahkan semua agensi menguruskan penempatan mangsa pelarian.

Namun, sebuah portal hari ini melaporkan Lim sebagai berkata, bahawa kerajaan Pulau Pinang mahu pendatang Rohingya dan Bangladesh ditempatkan di tanah milik Kerajaan Persekutuan kerana negeri itu menghadapi masalah tempat kosong sama ada di bahagian pulau atau tanah besar. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengenal pasti lokasi penempatan sementara 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh. 

Beliau berkata kini sejumlah 2,800 pelarian ditempatkan sementara di Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik, Kedah. 

Ditanya tarikh pelarian itu akan dibawa masuk ke perairan Malaysia, Ahmad Zahid berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia masih memantau dan tiada tarikh ditetapkan. 

Ahmad Zahid menyarankan agensi antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan International Organisation of Migrations (OIM) lebih terbuka dalam menyediakan peruntukan bagi pendatang di negara ini. 

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen membiayai RM6.50 seorang setiap hari dan perbelanjaan yang besar ini harus dikongsi bersama UNHCR dan IOM. 

"Kita juga menyeru agar badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengikut jejak langkah Kelab Putra 1Malaysia dalam membantu selain NGO berasaskan perubatan yang tampil memberi rawatan kepada pendatang-pendatang," katanya. 

Apabila ditanya sama ada rakyat tempatan terlibat dalam penyeludupan manusia, Zahid berkata Jabatan Imigresen sedang melakukan siasatan di kalangan pelarian dalam tahanan. 

"Kita telah melakukan saringan. Saya yakin mereka akan memberitahu dalam masa terdekat di mana dan siapa rakyat tempatan yang terlibat. 

"Daripada maklumat awal, ejen dari negara sumber sama ada Myanmar atau Bangladesh juga terlibat dengan menggunakan beberapa orang tempatan di Thailand untuk mengaut keuntungan mencari peluang ketika orang susah," katanya.

0 comments:

share2