Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 22, 2015

PIYA TAJA KASUT POK YA RAMBO


Piya taja kasut Pok Ya Rambo


“KEPERCAYAAN yang diberikan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk merealisasikan impian yang diidamkan sejak dulu lagi,” Itu kata Zakaria Yusof selepas menerima kasut tajaan Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi, semalam.

Zakaria atau lebih dikenali panggilan Pok Ya Rambo bernazar akan berlari sejauh 500 kilometer secara solo bermula dari pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu jika Kelantan menjuarai Piala FA, musim ini.

Zakaria berkata, dia sedang mempersiapkan diri dengan menjaga mental dan fizikal bagi memastikan dapat mengekalkan kecergasan menjelang misi sulungnya, Ahad ini.

“Pok Ya berterima kasih kepada Piya (Mohd Badhri). Insya-ALLAH, semoga semua urusan akan dipermudahkan nanti, pada masa sama saya yakin Kelantan akan menang dan nazar ini akan ditunaikan,” katanya.

Misi berlari secara solo warga emas berusia 65 tahun itu melibatkan jarak sejauh 500 kilometer bermula dari Bukit Jalil, Kuala Lipis, Gua Musang dan berakhir di Kota Bharu.

Ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya, Zakaria memberitahu, dia mengamalkan pemakanan seimbang dan mematuhi jadual pemeriksaan kesihatan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Mohd Badhri ketika ditemui berkata, dua pasang kasut tajaannya itu merupakan pemangkin semangat kepada Pok Ya yang tidak jemu menyokong pasukan Kelantan selama ini.

“Pok Ya mempunyai impiannya sendiri, sebagaimana kita mengimpikan kepulangan trofi, pada Sabtu ini. Tajaan kasut ini juga menunjukkan kita turut menyokong misi Pok Ya. Insya-ALLAH, kita akan menang dan bawa balik piala yang diidamkan sejak dua tahun lalu itu,” katanya.

Selain tajaan kasut, Zakaria turut menerima tajaan daripada Rich88 Kapten Piya iaitu tujuh helai kemeja-T untuk kegunaannya sepanjang melengkapkan misi larian solo itu.

Wakil Rich88, Farah Afiqah Mohd Fuzi berkata, dia turut terpanggil untuk sama-sama menyokong misi Pok Ya kali ini selepas melihat semangat kesukanan tinggi yang dipamerkan datuk kepada 13 cucu itu.

0 comments:

share2