Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 27, 2015

PELAKSANAAN GST PERLU DITAMBAH BAIK


Khairy Jamaluddin


Kuala Lumpur - Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu ditambah baik kerana masih terdapat kelemahan berdasarkan kebanyakan aduan rakyat, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Pemuda Umno sangat prihatin terhadap suara rakyat berhubung beberapa kelemahan dalam pelaksaanan GST.

"Dasar dan polisi GST ini kita sokong tetapi perlu perbaiki dari segi pelaksanaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Katanya Pemuda Umno akan menganjurkan 'Hari Terbuka' dalam masa terdekat dengan mengundang wakil Jabatan Kastam, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mendengar segala aduan dan rungutan rakyat ke arah memperbaiki kelemahan pelaksanaan GST.

Turut diundang ialah persatuan pengguna, persatuan belia, persatuan pengilang, persatuan pemborong, persatuan peruncit dan persatuan kedai makan, katanya. 

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata siasatan yang sedang dilakukan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Ketua Audit Negara mahupun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu menyeluruh untuk menjawab segala tohmahan terhadap kerajaan dengan lengkap.

Katanya pelan pemulihan terhadap pengurusan 1MDB juga perlu dilaksanakan secara holistik dan jangka panjang untuk memastikan masalah kewangan syarikat itu tidak berulang. 

"Dimaklumkan satu pelan pemulihan (1MDB) akan dibentangkan kepada jemaah menteri minggu ini. Jadi kita harap pelan yang akan dibentang ini betul-betul pelan pemulihan holistik ... tidak boleh ada pelan pemulihan jangka pendek yang hanya dapat menyelesaikan pembayaran hutang dari satu bulan ke satu bulan sahaja". 

Beliau turut mengulangi bahawa tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kemelut 1MDB. 

Sementara itu, Khairy berkata beliau akan berjumpa dengan wakil Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) petang esok bagi membincangkan kemelut cadangan pembuangan 6,000 pekerja Malaysia Airlines (MAS). 

"Saya ada terima sepucuk surat daripada Nufam berhubung kemelut ini. Pemuda UMNO sangat prihatin dengan nasib pekerja MAS yang bakal ditamatkan perkhidmatanini," katanya. 

Khairy berkata sekiranya pekerja-pekerja itu tidak dapat disambung perkhidmatan dengan MAS, mereka akan dibantu dari segi mendapatkan peluang pekerjaan alternatif atau kemahiran alternatif.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 9,960 anggota baharu Pemuda Umno‎ ditambah bagi tempoh Februari hingga April lepas.

0 comments:

share2