Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 27, 2015

KUANTAN: TIADA BAHAN TOKSIK, TIADA KAITAN IKAN TERDAMPAR


Perairan Pantai Tanjung Gelang yang bertukar merah pada kejadian 14 Mei lalu tidak mengandungi logam berbahaya dan tidak ada kaitan dengan kejadian ikan terdampar di Teluk Cempedak.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, hasil kajian dilakukan Jabatan Kimia mendapati air berkenaan tiada logam berat yang membahayakan hidupan.

Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehari selepas itu mendapati laut bertukar merah kerana berlaku pembersihan di pelabuhan Kuantan sebelum hujan lebat.

“Pencemaran berpunca dari tempat basuhan lori yang membawa bauksit di kawasan Kuantan Port Consortium (KPC) dan mengalir ke sungai Penggorak iaitu kira-kira 750 meter dari lokasi itu.

“Tindakan diambil dengan mengarahkan pengurusan KPC menggunakan perangkap bagi mengelakkan larian permukaan yang mengakibatkan laut bertukar warna,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Tukang Paip Pahang 2015 di sini, semalam.

Penduduk Pahang baru-baru ini digemparkan dengan kejadian air laut di kawasan perairan Tanjung Gelang bertukar merah dan beberapa gambar berkaitan menjadi viral di media sosial.

[ARTIKEL BERKAITAN: Air laut bertukar jadi merah]

Kesannya, gambar berkenaan menjadi fenomena yang membawa kepada usaha beberapa pihak menghentikan perlombongan bauksit termasuk pihak pembangkang yang mengadakan perhimpunan di Taman Datuk Rashid dan Felda Bukit Goh.

Mohd Soffi berkata, beliau sendiri melawat kawasan itu pada 20 Mei lalu dan mengarahkan KPC membina kolam takungan dan tapisan bagi mengelakkan sedimen dari bauksit turun ke laut.

“Sampel air di kawasan berkenaan turut diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan berkenaan bebas toksik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak bimbang dengan kejadian ikan mati di pantai Teluk Cempedak kerana sudah dimaklumkan berpunca dari nelayan.

“Jabatan Perikanan sudah mengesahkan bahawa kejadian itu disebabkan nelayan yang membuang ikan kerana tidak boleh dijual tetapi mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai,” katanya.

0 comments:

share2