Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 23, 2015

KUANTAN: SUSPEK PECAH RUMAH KENA CEKUP


Suspek pecah rumah kena cekup


Tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki memberhentikan motosikalnya di tepi sebuah rumah di Batu 6, Jalan Gambang-Kuantan, membongkar cubaannya bersama rakan untuk memecah masuk kediaman tersebut awal pagi, semalam.

Cubaan mereka untuk melakukan jenayah itu bagaimanapun gagal apabila kelibat mencurigakan seorang daripada mereka berjaya dikesan sepasukan anggota polis yang kebetulan sedang melakukan pemantauan dan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

Tindakan pantas polis berjaya menghalang cubaan kedua-dua suspek berusia 26 dan 33 tahun itu daripada melarikan diri apabila mereka akhirnya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

Berikutan penahanan dua lelaki itu, polis turut menemui dan merampas peralatan yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah setelah seorang daripada mereka mencampakkannya ke dalam longkang ketika melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sepasukan anggota daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang terserempak dengan salah seorang suspek menunggang dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Curiga dengan tingkah laku lelaki tersebut, anggota polis bertindak menghampiri untuk melakukan pemeriksaan. 

Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran polis, suspek terus memecut motosikal melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Pada masa yang sama, kita dapati ada seorang lagi lelaki muncul dari arah belakang rumah titu dan membonceng motosikal terbabit melarikan diri.

“Cubaan kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya digagalkan apabila mereka ditahan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah yang cuba dipecah masuk,” katanya.

Abdul Aziz berkata, suspek pada mulanya enggan mengalah apabila terus melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dan ketika itu polis ternampak salah seorang daripada mereka membuang sesuatu ke dalam longkang.

“Kedua-dua mereka berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan terhadap objek yang dibuang mendapati ianya merupakan peralatan yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah termasuk alat pemotong,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan suspek mahu memecah masuk rumah berkenaan namun ternyata tindakan mereka sia-sia apabila polis berjaya mengesan sebelum menahan mereka.

“Semua suspek yang berasal dari daerah ini di bawa ke IPD Kuantan untuk tindakan lanjut dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah methamphetamine,” katanya.

0 comments:

share2