Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 28, 2015

ISTERI KOMA PERLU DIBAWA PULANG


Isteri koma perlu dibawa pulang


Sungai Petani – Seorang suami buntu apabila isterinya yang masih dalam keadaan koma perlu dibawa pulang ke rumah dengan segera sedangkan dia masih belum mampu menyediakan segala kemudahan khas untuk isterinya itu.

Hamzah Yusof, 38, berkata, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan memandangkan sudah tiga kali pihak hospital memaklumkan supaya membawa pulang isterinya, Anisah Nawi, 38, yang menghidap sakit buah pinggang selain jangkitan kuman merebak ke bahagian kepala.

Menurutnya, dia masih belum mampu menyediakan kemudahan khas untuk isteri yang memerlukan katil khas, tilam oksigen, alat penyedut kahak dan rawatan dialisis yang perlu ditanggung sendiri sekiranya isteri dibawa pulang ke rumah.

“Saya hanya bekerja kilang dan masih menanggung tiga anak berusia antara enam hingga 15 tahun, mana mampu saya boleh menyediakan peralatan tersebut dalam masa singkat sedangkan dia memerlukan kesemuanya sekiranya dibawa pulang.

“Tambahan pula, kebanyakan rawatan dialisis yang saya rujuk tidak menyediakan kemudahan kepada pesakit koma seperti isteri,” katanya ketika ditemui menemani isterinya di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, semalam.

Hamzah berkata, isterinya itu sudah hampir dua bulan terlantar koma di hospital.

“Pada mulanya, dia mengadu sakit kepala, loya dan tiada selera makan sehingga meminta supaya dibawa ke hospital. Selepas dirawat, doktor mengesyaki dia mempunyai masalah buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis.

“Selepas tiga hari menjalani dialisis, Anisah koma, imbasan x-ray kemudiannya mendapati terdapat darah beku di bahagian kepala menyebabkan pembedahan dilakukan segera di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya.

Katanya, pada 2013, isterinya pernah dijangkiti kuman yang berpunca dari mulut sehingga menyebabkan gigi bergoyang, bengkak di gusi dan kepala.

Pada ketika itu, dua kali pembedahan sudah dilakukan akibat pendarahan sehingga menyebabkan sedikit bahagian tempurung kepala dibuang.

Namun, dia sihat seperti sediakala sehingga diserang sakit kepala dua bulan lalu sebelum koma sehingga ke hari ini.

Katanya, setiap hari dia akan menguruskan isteri sebelum bekerja syif malam dan anak sulung yang bakal menjalani peperiksaan PT3 terpaksa mengulang kaji sambil menemani ibunya setiap malam di hospital.

Buat sementara waktu, anak-anaknya berada dalam jagaan ahli keluarga lain atau ibu mertua yang datang dari Kelantan menemani mereka.

“Saya memerlukan dana tertentu untuk mendapatkan katil boleh laras sebelum membawa pulang isteri. Isteri juga memerlukan kelengkapan khas perubatan lain sepertimana di hospital yang perlu diuruskan sendiri ahli keluarga.

“Saya sudah tidak sanggup melihat dia dalam keadaan begini, dalam masa sama, pihak hospital sudah tiga kali memaklumkan agar isteri perlu dibawa pulang walaupun dalam keadaan saya masih belum bersedia,” katanya.

Menurutnya, dia merayu orang ramai yang ingin membantu agar meringankan kos yang dihadapi melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02126-29-00012127-2.

Selain alatan khas, isterinya juga memerlukan lampin pakai buang dan minuman susu khas yang memerlukan kos yang tinggi.

0 comments:

share2