Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 12, 2015

BENTONG : BERANG LEMBU LEPAS BEBAS

Berang lembu lepas bebas




Penduduk Kampung Benus berang dengan kehadiran sekumpulan lembu ternakan anggaran sekitar 20 ekor yang dibiarkan bebas berkeliaran sehingga mengganggu dan merosakkan persekitaran rumah mereka.

Difahamkan tidak hanya itu, sekumpulan lembu terbabit turut berkeliaran di atas jalan utama kampung terbabit ke bandar Bentong sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan.


Tanggung kerugian

Seorang penduduk, Ahmad Bakri Ahmad Kamal, 31, dikatakan telah empat kali membuat laporan polis berkaitan diganggu haiwan ternakan terbabit.

“Kali pertama saya membuat laporan adalah pada Februari tahun lepas dan yang terbaru, semalam (kelmarin).

“Saya kecewa kerana walaupun telah banyak kali membuat aduan kepada kesemua jabatan yang terlibat dengan masalah ini, namun sehingga kini masih belum menemui sebarang penyelesaian,” katanya.

Katanya, sejak menetap di rumah ibu mentuanya lebih setahun lalu, boleh dikatakan setiap minggu sekitar tiga hingga empat kali mereka sekeluarga diganggu ternakan terbabit.

“Ladang ternakan terbabit betul-betul berada di belakang rumah saya dan mungkin disebabkan itu rumah saya sering menjadi lokasi tumpuan lembu terbabit.

“Kumpulan lembu itu datang tanpa mengira masa tetapi kebanyakannya ketika malam. Apabila diperiksa, saya dapati pagar ladang terbabit terbuka,” katanya.

Ahmad Bakri terpaksa menganggung kerugian dari kerosakan yang dibuat oleh kumpulan lembu terbabit yang tidak hanya memusnahkan paip air rumahnya, malah turut merosakkan kenderaan miliknya.

“Dua motosikal saya terpaksa dibaiki kerana kerosakan akibat dirempuh kumpulan lembu terbabit selain kesan calar pada van saya yang diletakkan di bawah rumah.

“Tidak hanya itu, bau busuk najis dari kumpulan lembu terbabit turut membuatkan saya, isteri, tujuh anak, ibu mentua dan dua adik ipar saya tidak selesa, malah pernah suatu ketika, ia menjejaskan kesihatan kami kerana kuman yang dibawa dari najis terbabit,” katanya.


Pagar rosak

Ahmad Bakri bagaimanapun mengakui, tidak dapat memasang pagar di keliling rumahnya bagi menghalang lembu terbabit masuk ke kawasan rumahnya berikutan rumahnya yang sering dilanda banjir.

“Rumah saya sering dinaiki air terutama ketika musim banjir, dan air bah terbabit membuatkan pagar rumah saya rosak. Ia menelan kos untuk dibaiki dan disebabkan itu, saya tidak membuat pagar baharu kerana bimbang ia akan rosak semula,” katanya.

Dia berharap pihak bertanggungjawab prihatin dengan nasib yang menimpanya dan penduduk yang terjejas selain memohon masalah terbabit dapat diselesaikan segera.
Tidak dipagar sempurna

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Benus/ Chegar Medang, Ali Osman berkata, masalah terbabit dikatakan telah berlarutan sejak sekitar lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, lembu terbabit dikatakan dipelihara di kawasan perumahan penduduk tanpa penjagaan yang sewajarnya.

“Kawasan tempat ternakan lembu terbabit tidak dipagar dengan sempurna, malah penggembala dilihat sering membiarkan ternakan terbabit berkeliaran bebas di kawasan kampung.

“Pihak JKKK menerima banyak aduan penduduk yang mengadu mengenai masalah terbabit, malah ada antaranya terpaksa menanggung kerugian atas kerosakan yang dibuat haiwan terbabit,” katanya.


Perlu kandang sempurna

Tambahnya, JKKK juga telah membawa perkara terbabit ke dalam mesyuarat dan meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya berkaitan masalah terbabit termasuk memindahkan lokasi ternakan jauh dari kawasan perumahan.

“Pada pandangan saya, ternakan terbabit tidak sewajarnya berada di kawasan berhampiran dengan penduduk, namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana dikatakan tanah terbabit telah digazetkan sebagai kawasan padang ragut.

“Namun begitu, kami difahamkan penternak tidak patut membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

“Penternak sepatutnya membina sebuah ladang ternakan yang berpagar dilengkapi kandang dan penjagaan yang sempurna yang mana terdapat saliran air minuman dan pemberian makanan yang teratur,” katanya.

Katanya, sebelum ini ladang terbabit menjadi tempat ternakan kambing penduduk, namun tidak menimbulkan masalah sebagaimana sekarang.

“Mewakili JKKK, kami kesal dengan apa yang telah berlaku kerana ladang lembu terbabit wujud tanpa pengetahuan kami,” katanya.






0 comments:

share2