Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 2, 2015

TEMERLOH: BAYI 11 HARI DERITA MASALAH JANTUNG


Bayi 11 hari derita masalah jantung


Hati ibu bapa mana tidak luluh apabila anak yang dilahirkan normal disahkan berpenyakit kronik selang sehari melihat dunia.

Itulah yang dirasai seorang pembantu kantin sekolah, Ahmad Junaidi Mamat dan isterinya apabila bayi mereka Muhammad Putra Danial Danish yang masih merah dimaklumkan menghidap masalah jantung dan memerlukan rawatan segera.

Lebih memeritkan hati, bapa berusia 27 tahun ini tidak mampu menampung kos pembedahan bayi keduanya itu memandangkan gaji bulanan yang diperoleh hanya RM900.

"Kami suami isteri amat mengharapkan bantuan orang ramai. Jika bergantung kepada pendapatan saya semata-mata memang kami tak mampu.

Sedangkan sekarang ni pun, saya anak beranak tinggal menumpang di rumah ibu mentua. Kos rawatan bayi kami pasti tak tertanggung oleh saya. Saya amat mengharapkan bantuan daripada pihak-pihak yang berbesar hati menolong kami," katanya sayu.

Ahmad Junaidi berkata, bayinya yang baru berusia 11 hari itu disahkan menghidap masalah jantung sehari selepas dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

“Dia dilahirkan normal. Tapi lepas sehari balik ke rumah, perutnya membengkak. Bila dirujuk di HOSHAS, pihak hospital dapati dia ada masalah jantung tak normal. Doktor pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) maklumkan dia perlu dibedah tiga kali untuk pulih.

Sampai hari ni, bayi saya masih ditahan di wad HOSHAS sebab memerlukan pemerhatian rapi. Isteri pula terpaksa berpantang di rumah,” katanya sebak.

Isterinya, Norasiah Abdullah, 22, berkata, bayi mereka perlu dibedah pada bila-bila masa sebaik jangkitan kuman dalam badannya hilang. Bagi pembedahan kedua katanya, ia perlu dilakukan apabila Muhammad Putra Danial Danish berumur satu setengah tahun, diikuti pembedahan kali ketiga ketika berumur dua setengah tahun.

“Setakat ni, kami belum dimaklumkan kos sebenar pembedahan. Tapi ambil kira rawatan penyakit kronik macam ni dah tentu tinggi... kami tak mampu. Tambahan pula kami tak ada kereta, setiap kali rawatan, kena sewa atau pinjam kereta kawan-kawan suami. Kos perjalanan ke Kuala Lumpur pun tinggi... ” katanya sebak.

Tambahnya, dia anak beranak menumpang di rumah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) milik ibunya yang turut dihuni lima lagi adiknya.

"Saya berdoa dan berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Zakat Temerloh dapat tolong kami," katanya penuh mengharap.

Bantuan orang ramai boleh disumbangkan ke akaun Maybank 1560-5743-2684 atas penama nenek bayi malang berkenaan, Norsuliani Abdullah atau hubungi Norasiah di talian 019-9931295.

0 comments:

share2