Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 7, 2015

KUANTAN: PENGURUSAN 7 HUTAN LIPUR MEMUASKAN


Audit 2014


Pengurusan tujuh hutan lipur di Pahang oleh Jabatan Hutan Pahang berada di tahap memuaskan meliputi aspek perkhidmatan pengguna dan promosi, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan serta keselamatan kawasan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara yang diaudit ialah Hutan Lipur Sungai Pandan, Kuantan; Hutan Lipur Bukit Pelindung dan Teluk Cempedak, Kuantan; Hutan Lipur Bukit Beserah, Kuantan; Hutan Lipur Berkelah, Kuantan; Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran; Hutan Lipur Gunung Senyum, Temerloh; dan Hutan Lipur Bukit Bertangga, Bera.

"Pihak Audit telah mengedarkan sebanyak 150 borang soal selidik kepada pengunjung di sekitar tujuh hutan lipur yang dilawati.

"Analisis Audit mendapati 51.1 peratus pengunjung berada di tahap berpuas hati hingga sangat puas hati dengan kemudahan yang disediakan seperti denai hutan, kawasan perkhemahan, notis pemberitahuan keselamatan dan surau.

"Manakala, sebanyak 44.1 peratus pengunjung berada di tahap kurang puas hati hingga tidak puas hati terhadap kemudahan seperti pondok rehat," menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyebut prestasi pengunjung juga adalah baik di tujuh hutan lipur yang dilawati iaitu peningkatan keseluruhan sebanyak 19.5 peratus pada tahun 2013 berbanding tahun 2012.

"Selain itu, pengunjung juga menyatakan kesanggupan membayar untuk masuk ke hutan lipur.

"Bagaimanapun, penyenggaraan kemudahan di sesetengah hutan lipur juga perlu dipertingkatkan agar menjadi lebih selesa dan kondusif kepada pengunjung untuk berekreasi," menurut laporan itu.

Untuk itu, Jabatan Hutan disarankan membuat kajian menyeluruh berhubung kesesuaian penswastaan semua pengurusan hutan lipur berdasarkan prestasi dua hutan lipur yang telah diswastakan iaitu Hutan Lipur Kem Nusa di Jerantut dan Hutan Lipur Sungai Pandan di Kuantan.

"Ini kerana penswastaan pengurusan kemudahan di hutan lipur adalah baik dengan tahap kebersihan yang memuaskan, kemudahan yang disediakan mencukupi dan memberi keselesaan kepada pengunjung," menurut laporan itu.

0 comments:

share2