Dua lelaki bersahabat ditemui mati lemas di Sungai Belat dekat Kampung Sri Damai di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa dikenali S Kalidasan, 22, berasal dari Bukit Koman, Raub dan R Prabudeva, 21, dari Bukit Setongkol dekat sini.
"Maklumat kejadian diterima pada pukul 5 petang semalam oleh orang awam sebelum anggota bomba dan polis bergegas ke lokasi kejadian.
Seorang saksi ternampak salah seorang mangsa terkapai-kapai di dalam air sementara rakannya cuba menyelamatkannya bagaimanapun kedua-dua mangsa tenggelam dibawa arus deras," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, orang awam yang kebetulan berada di tebing sungai itu cuba terjun untuk menarik tangan salah seorang mangsa namun terlepas kerana arus terlalu deras.
Bagaimanapun katanya, S Kalidasan ditemui anggota unit penyelam dan penyelamat bomba Kuantan di tempat yang sama pada pukul 6.10 petang diikuti penemuan mangsa kedua pada pukul 7.15 petang semalam.
Abdul Aziz berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
0 comments:
Post a Comment