Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 13, 2015

AGIHAN WANG IHSAN MANGSA BANJIR HAMPIR SELESAI


Banjir


Kota Bharu - Proses pengagihan wang ihsan kepada mangsa banjir di Kelantan hampir 80 peratus selesai, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata, proses pengagihan wang sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam banjir pada Disember lepas sedang dilakukan.

"Proses pengagihan sedang berjalan dan kita beri tumpuan kepada Parlimen yang belum selesai, kita harapkan mangsa banjir bersabar.

Jika ada yang tidak dapat wang berkenaan mereka diminta membuat rayuan semula dan kita akan timbang semula untuk diluluskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1/2015 Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Kerajaan Pusat menganggarkan kira-kira 87,000 keluarga mangsa banjir layak menerima bantuan itu.   

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Kelantan berkata, golongan belia di negeri itu semakin gemar menceburi bidang pertanian walaupun ia bukan bidang yang popular dalam kalangan mereka.

Katanya, golongan itu semakin berani mencuba sesuatu yang baharu dan menjadikan pertanian sebagai kerjaya utama mereka.

"Apa yang agak luar biasa ialah tentang keperluan pertanian yang dibangkitkan oleh belia yang masih muda dan saya amat terkejut kerana kebiasaannya golongan ini tidak suka kepada bidang pertanian," katanya.

Katanya, golongan itu mahu kerajaan menyediakan dana bagi membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam bidang itu.

"Kita akan pandang serius dan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani beri peluang kepada belia yang suka menceburkan diri dalam bidang pertanian ini," katanya.

0 comments:

share2