Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 3, 2015

KAPAL TANGKI BAWA DIESEL, PETROL DIROMPAK


Kes jenayah


Kuching - Sebuah kapal tangki membawa muatan minyak diesel dan petrol dalam perjalanan dari Port Dickson ke Labuan, dirompak semasa belayar kira-kira 52 batu nautika di utara Pulau Uwi di perairan Indonesia, Rabu lepas (1 April).

Pengarah Operasi Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Kuching, Komander Maritim Shahref, Steve Mac Queen Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu awal pagi tadi oleh Biro Maritim Antarabangsa (IMB).

"Kira-kira 8.30 malam ketika berada di perairan Indonesia, MT Dongfang Glory yang berdaftar di negara ini dan membawa 4,000 tan metrik diesel dan 1,000 tan metrik petrol, dirompak oleh sekumpulan 15 hingga 25 orang bersenjatakan pistol.

"Kumpulan itu bertindak merompak barang-barang peribadi kru kapal tersebut dan merosakkan peralatan komunikasi dan navigasi kapal," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mac Queen, bagaimanapun berkata kesemua 17 anak kapal selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Selepas kejadian itu, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dalam perjalanan ke Malaysia Timur tiba di lokasi kejadian dan bertindak mengiringi kapal berkenaan sehingga ke Tanjung Po dekat sini dan tiba pada 4 pagi tadi," katanya.

Mac Queen berkata, kapal itu akan berada di perairan Tanjung Po untuk dilakukan pembaikan terhadap peralatan komunikasi dan navigasi kapal yang rosak sebelum meneruskan perjalanan ke Labuan.

"Sebaik proses membaiki kerosakan itu selesai, kapal itu akan meneruskan pelayaran ke Labuan dengan diiringi sebuah kapal Maritim bagi tujuan keselamatan," katanya.

Ketika ditanya sama ada kumpulan berkenaan turut merompak minyak diesel dan petrol daripada kapal berkenaan, Mac Queen berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

0 comments:

share2